Berita Hari Ini

Kerajaan Selangor guna teknologi baharu tangani denggi

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengambil pendekatan menggunakan beberapa teknologi baharu dalam usaha menangani penularan wabak denggi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Daroyah Alwi berkata sebagai contoh, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menggunakan ‘nyamuk Toxo’ bagi mengawal pembiakan nyamuk Aedes.

Menurutnya, kaedah itu sedang dilaksanakan di Pangsapuri Sri Tanjung; USJ 6; dan Kampung Seri Aman, Puchong dan dilihat memberi kesan signifikan dalam menurunkan kes denggi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan kaedah berkenaan masih dalam peringkat kajian dan pihaknya sedang memantau keberkesanan teknologi itu dari semasa ke semasa.

Dr Daroyah (PKR-Sementa) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ng Tien Chee (DAP-Balakong) yang ingin tahu mengenai teknologi baharu mencegah denggi dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Dr Daroyah berkata jumlah kes denggi yang paling tinggi dicatatkan di daerah Petaling semakin menurun berikutan pelbagai kaedah program ‘Terjah Denggi’ yang dilancarkan kerajaan negeri sejak Januari lepas.

“Data terkini sehingga Sabtu lepas, jumlah kes menurun kepada 433 kes berbanding 547 kes pada 21 Mac.

“Jumlah keseluruhan kes denggi di Selangor turut menurun daripada 1,754 kes pada 7 Feb kepada 970 kes sehingga Sabtu lepas,” katanya menjawab pertanyaan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin mengetahui status program ‘Terjah Denggi’ negeri ini.

Jelas Dr Daroyah, teknik semburan ‘Outdoor Residual Spray’ (ORS) di luar kawasan rumah akan terus diaplikasikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di kawasan Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Klang.

“Program gotong-royong akan diteruskan supaya masyarakat lebih memahami kepentingan mewujudkan persekitaran yang bersih sekali gus mengekalkan tahap kesihatan dan kawasan tempat tinggal di samping mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

-Astro Awani
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");