Jenayah

Kereta terbalik dalam longkang

KUALA PILAH – Dua wanita nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan berpusing sebelum terbalik ke dalam longkang di Kilometer 3, Jalan Kuala Pilah-Bahau, berhampiran simpang ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Beting, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Ina Zarina Ali, 30, yang memandu kereta Proton Wira serta rakan sekerjanya, Norhayani Hamidul, 34, dalam perjalanan dari Bandar Baru Serting, Jempol menghala ke Kuala Pilah.

Menurut suami Norhayani, Sofian Rosli, 35, kedua-dua mangsa yang bertugas di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Jempol keluar awal pagi kerana ingin menghadiri satu mesyuarat di PKG Kuala Pilah.

Sofian yang bertugas di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Kuala Pilah secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk ke pejabat.

“Setibanya di lokasi kejadian, saya terkejut melihat kereta dinaiki isteri terbalik dengan tayarnya ke atas dan atas bantuan orang ramai, saya berusaha mengeluarkan isteri dan rakannya.

“Menurut cerita Ina Zarina, sebelum kejadian mereka mengekori sebuah kereta bagaimanapun kereta terbabit menekan brek secara mengejut untuk menukar arah menghala ke kanan memasuki jalan ke UiTM.

“Akibat panik, Ina Zarina memaut stereng kereta ke kiri namun kereta mereka hilang kawalan dan berpusing ke arah bertentangan menyebabkan kereta terbalik di dalam longkang. Namun saya bersyukur mereka tidak mangalami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah, Mohd Akhir Abu, 25, berkata, sebuah ambulans JPAM serta empat anggota bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan jam 8.49 pagi.

“Setiba di lokasi, kami dapati kedua-dua mangsa telah dikeluarkan atas bantuan orang awam. Pemandu kereta mengalami luka di mulut manakala penumpang mengadu sakit di bahagian dada akibat hentakkan kuat di papan pemuka.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");