Sukan Hari Ini

Korea Selatan ‘libas’ Malaysia lagi

Selepas merangkul kejuaraan Siri Super ISTAF buat kali pertama di Melaka, Februari lalu ramai yang menganggap skuad sepak takraw negara sudah bangkit daripada zaman kejatuhan.

Malangnya apa yang difikirkan itu tidak benar kerana pasukan negara masih belum sepenuhnya mengembalikan reputasi sebagai gergasi apabila ditumpaskan Korea Selatan dalam separuh akhir Siri Super 3/2014-2015 di Wolmyeong Arena, Korea Selatan semalam.

Regu Malaysia yang dibarisi Sahidan Ali (tekong), Khairol Zaman (apit kanan) dan ketua pasukan, ZulEffendi Sumari (apit kiri) tewas mudah 15-21, 13-21.

Biarpun kalah lagi kepada Korea, namun perkara itu tidak membimbangkan Ketua Jurulatih Malaysia, Abdul Talib Ahmad.

Abdul Talib mengakui, beliau agak terkejut apabila pemainnya tidak beraksi dengan baik dalam dua perlawanan terakhir selepas turut tewas kepada Singapura sebelum ini.

“Namun, ia tidak begitu membimbangkan saya kerana kami masih dalam proses menilai pemain dan Korea pula beraksi de­ngan baik.

“Kita seharusnya melihat pe­rancangan jangka panjang iaitu pusingan Siri Super ISTAF seterusnya, Sukan SEA dan Piala Dunia.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada kami untuk mendedahkan pemain lain yang kami miliki dalam skuad kebangsaan. Ia adalah langkah yang baik untuk jangka masa panjang,” katanya.

Diketuai Im An soo (apit kanan), Park Hyeon Geun (tekong), Shin Chook Wang (apit kanan), Jeong Won Deok (apit kiri) dan Go Jae Woo (tekong), Korea hanya memerlukan 43 minit untuk menumbangkan Malaysia, sekali gus bertemu Thailand di final.

Terdahulu, Thailand tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Singapura 21-11, 21-11 dalam masa kurang 33 minit.Kedua-dua apit kanan, Anuwat Chaichana dan Thawisak Thongsai menyempurnakan semua rejaman mereka, manakala Assadin Wong­yota (apit kiri) menambah derita Singapura dengan menyempurnakan empat daripada enam rejaman.

An Soo, Hyon Geun dan Won Deok menjadi tulang belakang Korea sejak beberapa tahun dan mereka sedikit pun tidak gentar berdepan Malaysia yang turun dengan reputasi sebagai juara pusingan terakhir.

Selepas melakar dua kemena­ngan ke atas China dan Myanmar, kejatuhan skuad negara mula dilihat apabila kalah kepada Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Korea mendahului 6-2, 13-9 dan seterusnya 19-13. Mereka tidak mengambil masa lama untuk mengesahkan kemenangan 21-15 di set pertama.

Set kedua juga berakhir dengan cepat, biarpun regu negara seketika mengikat kedudukan 10-10.

Ketua Jurulatih Korea, Yoo Dong Young, berkata dia memang yakin pasukannya akan melangkah ke final selepas membuat penilaian terhadap kekuatan regu negara sepanjang saingan mereka di peringkat kumpulan.

“Ini bukan barisan terkuat Malaysia dan kami melihat mereka di bawah tekanan dalam kebanyakan perlawanan,” kata Dong Young. – www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");