Berita Hari Ini

KP1M hantar 25 doktor ke Kathmandu

ROMPIN – Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) akan menghantar pasukan perubatan terdiri daripada 25 doktor ke Kathmandu, wilayah yang terjejas teruk ekoran bencana gempa bumi, Sabtu lepas.

Presidennya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pasukan itu dengan kerjasama Biro Kebajikan UMNO akan membawa bekalan perubatan, makanan, pakaian dan selimut untuk diagihkan kepada mangsa dan dijangka berlepas esok atau lusa.

“Laporan terbaharu yang saya terima adalah bekalan makanan tidak mencukupi di sana dan In sya Allah kita akan percepatkan usaha kita menghantar bantuan.

“KP1M kini sedang giat buat persiapan membeli ubat-ubatan bersama sukarelawan kita yang sedang cari barang seperti kain selimut dan makanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Pengerusi Tabung Haji (TH), di sini malam tadi.

Katanya, sehingga kini hanya kawasan Kathmandu yang boleh diakses melalui udara dan kawasan sekitarnya masih terputus hubungan darat.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Jumlah kematian meningkat ke angka 5,020 sementara bilangan yang cedera mencecah 7,624 dan dijangka terus meningkat ketika pasukan menyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat dari kawasan runtuhan.

Terdahulu Abdul Azeez sempat beramah mesra dengan pesara TH Plantations dan menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan kepada 120 pesara di Kota Bahagia, kira-kira 80 kilometer dari sini, malam tadi.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Abdul Azeez berkata beliau percaya dan yakin kawasan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) ini akan terus kekal milik BN pada 5 Mei akan datang. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");