Jenayah

Mahu suspek terima hukuman setimpal

KLUANG – Ibu Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, gadis yang maut ditikam bekas tunangnya Jumaat lalu, meluahkan rasa lega selepas suspek yang membunuh anaknya itu ditahan polis, Selasa lalu.

Bedah Bontak, 63, berkata, dia menerima berita mengenai penangkapan suspek yang membunuh anak ke-11 daripada 12 beradik itu ketika dia berada di rumah anaknya di Pasir Gudang, pagi kelmarin.

“Anak mak cik memberitahu bahawa polis meminta mak cik datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk mengecam suspek.

“Selepas balik dari balai, barulah mak cik berasa lega apabila suspek telah ditangkap dan selepas ini dia (suspek) tidak akan ganggu kami sekeluarga. Sebelum ini, mak cik sentiasa rasa takut sekiranya dia datang ke rumah dan mengancam kami sekeluarga. Sebab itulah mak cik dan pak cik duduk di rumah anak di Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Ulu Dengar, di sini, semalam.

Kata Bedah, dia rasa geram dan marah apabila melihat suspek ketika proses pengecaman itu berikutan terkenang kejadian menimpa anaknya.

Tambahnya, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana ingin mengetahui perkembangan seterusnya.

“Mak cik harap agar dia menerima hukuman setimpal. Dengan tertangkapnya suspek ini, mak cik akan mengadakan kenduri kesyukuran dan arwah untuk Nursyafikah yang masuk hari ke-7 esok (hari ini),” katanya.

Bedah memberitahu, kehilangan Nursyafikah adalah satu kehilangan besar bagi keluarganya dan sehingga ke hari ini dia masih terbayang-bayang kelibat anaknya apabila berada di rumah.

“Namun mak cik reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur suspek yang membunuhnya itu berjaya ditangkap,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");