Perak Hari Ini

MBI Laksana Tindakan Penguatkuasaan Sitaan Kepada Pengusaha Degil

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan sitaan terhadap pengusaha yang degil dan tidak melunaskan bayaran cukai tafsiran di bandaraya itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Harun Rawi berkata, penguatkuasaan sitaan tersebut akan dilaksanakan bagi beberapa kategori.

“Tindakan penguatkuasaan sitaan akan dilaksanakan bagi kategori kilang, industri dan perniagaan (rumah kedai) yang dijadualkan pada akhir bulan April 2015,” katanya.

Beliau menyarankan agar pihak tersebut membayar tunggakan cukai berkenaan untuk mengelakkan tindakan itu dikenakan kepada mereka.

“Oleh sebab demikian, bagi pemilik-pemilik yang masih mempunyai tunggakan cukai tafsiran, disarankan untuk menjelaskannya dengan kadar segera supaya tidak dikenakan tindakan sitaan ataupun rampasan harta alih,” kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Penuh Majlis bagi bulan April 2015 di Bangunan MBI di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihak MBI bersama Kerajaan Negeri akan menanggung bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang melibatkan kemudahan awam dan sosial.

“Pihak Majlis telah mula melaksanakan GST berkuatkuasa mulai 1 April 2015 yang lalu seperti yang tertakhluk di bawah Seksyen 64, Akta GST 2014.

“Walau bagaimanapun, sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri, perkhidmatan Majlis yang melibatkan kemudahan awam dan sosial yang tertakhluk kepada GST sebanyak enam peratus akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan MBI.

“Contohnya, bayaran tempat letak kereta berkupon, sewaan kemudahan seperti dewan, padang, kompleks renang dan bagi lain-lain kemudahan,” jelas beliau lagi.

Bagi perkhidmatan yang disediakan untuk tujuan perniagaan dan keuntungan pula katanya, bayaran GST akan dicaj kepada pihak berkenaan.

“Perkhidmatan seperti sewaan permis perniagaan dan pejabat serta lain-lain perkhidmatan yang terlibat dengan pembayaran GST akan dicaj kepada pemiliknya.

“Namun, kos GST (yang dibenarkan) boleh dituntut semula daripada pihak Kastam sebagai cukai input,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi pembekal dan kontraktor yang terlibat dengan perolehan Majlis hendaklah mengemukakan maklumat nombor pendaftaran GST.

“Ia perlu dilakukan di Unit Bekalan dan Perolehan beserta dokumen sokongan sebagai bukti pendaftaran mereka dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

“Ini bagi melancarkan proses pembayaran sekiranya caj GST dikenakan kepada pihak Majlis kelak,” tegas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");