Jenayah

‘Mereka ugut nak sembelih makcik’

TUMPAT – Seorang warga emas dalam perjalanan ke masjid menempuh detik cemas apabila ditarik ke dalam kereta sebelum disamun dan kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan di perkampungan Siam dekat Kampung Gelang Kecik, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Mek Som Teh, 84, dari Kampung Padang Tembesu, di sini, patah jari kelingking dan bengkak di lengan.

Kejadian itu juga menyebabkan Mek Som kerugian RM10,000 apabila gelang emas dan dua bentuk cincinnya dilarikan dua penyamun yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

Menceritakan detik cemas itu, Mek Som berkata, dia berjalan kaki ke masjid berkenaan sejauh 200 meter untuk menunaikan solat Maghrib.

Tiba-tiba katanya, sebuah kereta berhenti dan keluar seorang lelaki tidak dikenali bertanya jalan sebaik dia sampai di hadapan masjid tersebut.

Menurutnya, sepantas kilat lelaki terbabit menariknya ke dalam kereta dan membungkusnya dengan kain selimut.

“Makcik menjerit sekuat hati minta tolong, jerit ada orang jahat tetapi tiada siapa mendengar. Di dalam kereta, lelaki tersebut meraba cari barang kemas di badan makcik dan menemui gelang serta cincin.

“Makcik terbaring di celah kerusi belakang. Makcik tak nampak mereka sebab mata tertutup selimut, hanya dengar suara mereka ugut nak sembelih makcik jika tidak ikut cakap. Seorang dengan makcik, seorang lagi memandu kereta,” katanya.

Mek Som berkata, selepas barang kemasnya diambil, dia ditolak keluar dari kereta dan tergolek jatuh ke dalam semak.

Menurutnya, dalam keadaan tidak bermaya dan sakit badan, dia merangkak bangun ke jalan kampung Gelang Kecik meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang berhenti.

“Mungkin mereka takut nak berhenti sebab makcik pakai telekung dan jalan di situ agak sunyi serta gelap.

“Makcik cuba melintas jalan untuk ke rumah seorang penduduk di situ tetapi disalak tiga ekor anjing. Mujur lalu sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki bersama pasangannya membantu,” katanya.

Menurutnya, dia membonceng motosikal lelaki terbabit bersama pasangannya untuk pulang dan tiba di rumahnya, jam 8.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Zaharudin turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mendedahkan barangan kemas yang dipakai, elak berjalan di kawasan sunyi berseorangan dan utamakan keselamatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");