Jenayah

OKU tak serik keluar masuk lokap

DUNGUN – Seorang lelaki yang kudung sebelah kaki tidak pernah serik keluar masuk lokap kerana masalah penyalahgunaan dadah dan dia sekali lagi ditahan di dalam serbuan dilakukan di Seberang Pintasan, di sini, semalam.

Lelaki berusia 23 tahun berkenaan antara 13 yang ditahan menerusi Ops Sarang Dungun yang digerakkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun di port penagihan dadah di sekitar kawasan belukar.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun, Asisten Superintendan Cheng Guan Ching berkata, penahanan lelaki OKU yang memakai kaki palsu berkenaan sudah masuk kali kelima tetapi tidak pernah serik.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 51 tahun dan rata-rata mereka pernah ditahan serta mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Lelaki OKU yang juga penganggur itu satu-satunya yang ditahan kerana memiliki dadah ketika serbuan iaitu didapati terdapat dadah jenis heroin seberat 4.5 gram di dalam botol disembunyikan dalam poket seluarnya.

“Bagaimanapun, kesemua yang lain didapati positif dadah jenis morfin setelah pemeriksaan air kencing dijalankan,” katanya.

Guan Ching berkata, lelaki kudung itu difahamkan kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya tetapi tetap aktif dalam kegiatan penagihan dan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua yang ditahan juga adalah warga tempatan dan bukan ditahan kali pertama,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kesemua yang ditangkap ketika serbuan itu akan menjalani tahanan reman untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Serbuan dilakukan atas maklumat orang awam dan tindakan susulan diambil bagi mengekang kegiatan itu.

“Operasi bermula pada jam 10 pagi hingga 1.30 petang dan semua lancar walaupun ada pergelutan kecil.

“Penagih dipercayai masuk ke dalam belukar seorang demi seorang dan apabila telah siap, anggota polis bersedia untuk tangkap mereka yang keluar dari tempat itu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 A(1) Akta Dadah berbahaya dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 pindaan 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan itu dan operasi dilakukan lima anggota.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");