Isu Panas

‘Pak Long semangat nak pi mengundi’

PERMATANG PAUH – Usianya mencecah 103 tahun namun, masih berkobar-kobar mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 7 Mei nanti.

Othman Daud yang tinggal di Tanah Liat, Bukit Mertajam di sini berkata, setakat ini dia tidak ketinggalan untuk keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil yang dilakukan di kawasannya.

Othman yang mesra disapa Pak Long berkata, kali pertama beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pengundi pada 1959.

“Kalau keadaan mengizinkan dan diberi kesihatan yang baik, Pak Long akan keluar mengundi nanti.

“Pak Long tak mahu terlepas untuk keluar mengundi tapi kena ada orang datang ambil bawa Pak Long pi la, kalau tak ada sesiapa yang nak ambil susah la,” katanya selepas menerima kunjungan daripada jentera Puteri Umno di sini, semalam.

Pak Long berkata, walaupun usianya melebihi 100 tahun namun, beliau masih kuat dan boleh bekerja selain mempunyai penglihatan baik.

Menurutnya, semakan daftar pemilih bagi PRK Permatang Pauh dilakukan sebelum ini dan beliau akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Penanti.

Mengulas mengenai rahsia kesihatannya, Pak Long berkata, beliau mengamalkan makan ulam-ulaman selain tidak terlalu manjakan diri walaupun usia meningkat naik.

“Pak Long masih lagi turun ke bendang dan setiap pagi akan keluar bersarapan di gerai berhampiran, ” katanya.

Pak Long yang masih bujang merupakan anak sulung daripada 12 beradik dan kini tinggal bersama adik perempuannya, Bedah, 76, dan cucu saudaranya, Mohd Firdaus Mohd Zafri, 13.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");