Jenayah

Pasangan adik-beradik antara tujuh ditahan

DUNGUN – Pasangan adik beradik lelaki adalah antara tujuh individu dipercayai penagih dadah yang ditahan polis dalam satu operasi bersepadu di daerah ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, pasangan berusia 23 dan 25 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Ketengah Jaya kira-kira 12 tengah malam, selain polis turut menemui tujuh pil kuda bersama mereka.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah lain di Ketengah Jaya pada awal pagi, beliau berkata, polis turut merampas 56 biji dadah dipercayai pil kuda bersama seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an.

“Selain serbuan dilakukan di rumah, kita turut melakukan sekatan jalan raya melibatkan enam lokasi di sekitar daerah Dungun.

“Sebanyak 144 orang diperiksa dalam operasi tersebut dan kita turut menahan empat individu dengan merampas pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, syabu dan ganja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Operasi bermula 11 malam dan berakhir 3 pagi itu, membabitkan sebanyak 112 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), RELA dan Jabatan Imigresen Terengganu.

Ahmad Zailani berkata, dalam sekatan jalan raya itu juga, pihaknya menahan enam warga asing berusia 18 hingga 35 tahun kerana didapati tinggal melebihi tempoh, sebelum dihantar ke Depo Tahanan di Ajil untuk siasatan lanjut.

Sepanjang operasi lima jam itu, 97 buah kereta, 57 motosikal, 35 bas dan lima lori diperiksa dan sebanyak 13 saman trafik dan lima saman dari JPJ telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");