Jenayah

Pecah pintu selamat 2 beradik

Johor Bahru: Tindakan pantas jiran yang memecahkan pintu sebuah rumah yang dijilat api di Jalan Berembang, Kampung 10, Plentong di sini, kelmarin berjaya menyelamatkan kanak-kanak dua beradik berusia enam dan lima tahun daripada rentung.

Kejadian berlaku ketika ibu kanak-kanak berkenaan Eilly Zaifa Jamil, 32, pergi ke kedai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk membeli keperluan dapur kira-kira jam 6.15 petang.

Menurut Eilly, selesai membeli barangan di kedai, dia terus pulang kerana bimbangkan dua anaknya tetapi terkejut apabila mendapati api marak menjilat sebahagian besar rumahnya.

“Sebaik tiba di rumah, saya terkejut mendapati api sedang marak dan panik apabila diberitahu seorang lagi anak saya masih berada dalam bilik manakala anak yang berusia enam tahun sudah diselamatkan jiran.

“Mujur beberapa jiran memberanikan diri dan pantas masuk menyelamatkannya. Kedua-dua anak saya selamat dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana trauma dan terhidu asap.

“Walaupun tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk pakaian dan dokumen penting, namun lebih penting nyawa dua anak saya terselamat,” katanya.

Sementara itu, jiran yang juga saksi kejadian Nor Zizah Mohammad, 36, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar suara kanak-kanak menjerit dan mendapati api marak dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Katanya, beberapa jiran terus memecahkan pintu dan menyelamatkan dua beradik itu yang dalam keadaan ketakutan dengan seorang berada di dapur manakala seorang lagi berada dalam bilik.

“Sebaik mendapati ada orang dalam rumah yang terbakar itu, saya terus meminta tolong adik ipar dan jiran lain sebelum menghubungi bomba.

“Ketika diselamatkan, dua beradik itu turut hampir lemas akibat terhidu asap tebal. Sebaik membawa mereka keluar, kedengaran beberapa letupan kecil sebelum seluruh rumah dijilat api,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya berkata, dua jentera termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau bersama 12 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 6.55 petang.

Menurutnya, sebaik tiba pada jam 7.16 malam, kebakaran sudah merebak ke seluruh rumah diperbuat daripada papan itu dan berjaya mengawal keadaan beberapa minit kemudian.

“Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca sebenar serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");