Panasnya Hari Ini

Pelaksanaan GST, Kesan Dan Impaknya Kepada Rakyat

PELAKSANAAN sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April yang lalu nyata menerima pelbagai reaksi negatif daripada rakyat negara ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Abdul Wahid Omar dalam satu kenyataan memberi enam pengamatan dan pencerahan berhubung pelaksanaan cukai itu yang dikatakan masih lagi dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Pencerahan pertama, GST 6 peratus ini menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus, yakni bukan cukai tambahan.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST.

Pemerhatian Peraktoday.com.my pula sebaliknya apabila harga barangan termasuk makanan tidak turun hingga pengguna menjadi keliru dengan pendekatan GST ini.

Menurut Wahid, berdasarkan Kementerian Kewangan, kesan GST terhadap kadar inflasi adalah peningkatan sebanyak 1.1 peratus dan purata kadar inflasi untuk tahun 2015 dijangka sekitar 3 peratus yang merupakan satu kadar berpatutan dan antara kadar terendah di rantau ini.

“Tidak semua harga barang dan perkhidmatan akan naik. Ada juga yang turun seperti harga kereta yang turun 2 hingga 3 peratus  malah Proton menurunkan harga sehingga RM1,475 seunit manakala Honda antara RM500 hingga RM2,500 seunit,” katanya.

Kerajaan juga katanya, telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1 hingga 3 peratus, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25 peratus kepada 24 peratus dan pengurangan cukai perusahaan kecil dan sederhana dari 20 peratus kepada 19 peratus.

Penyelesaiannya, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 dan RM750 serta bagi individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350.

Ini semua  jelasnya, bertujuan meringankan impak kenaikan harga barang.

Namun situasinya kini bertentangan apabila masih ada peniaga yang merungut tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persediaan GST dan rakyat sendiri ternyata masih keliru.

Wahid menambah, masa yang diberikan selama 17 bulan selepas pengumuman pelaksanaan GST dibuat untuk semua pihak bersedia menghadapinya adalah munasabah dan mencukupi.

Katanya, pihak berkenaan cuma masih tidak bersedia yang mana kebanyakan daripadanya hanya mengambil sikap sambil lewa pada peringkat permulaan tersebut.

“Ada juga yang sengaja mengharapkan agar GST tidak dilaksanakan kerana dengan adanya cukai itu, adalah lebih sukar untuk mengelak daripada membayar cukai pendapatan,” ujar beliau.

Jelasnya, pihak Kerajaan telah menyediakan saluran yang sah bagi memperjelaskan isu berkaitan cukai yang bakal dilaksanakan tersebut.

“Kerajaan telah mewujudkan GST hotline bagi Jabatan Kastam di talian 1300 888 500 dan KPDNKK di 1300 886 800 serta laman sesawang gst.customs.gov.my untuk orang ramai mendapat maklumat lanjut.

“Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan hanya terdapat 2 juta pembayar cukai.

“Ianya merupakan satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 28 juta,” kata Wahid lagi.

Beliau berkata,  GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) dimana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada kalangan yang berpendapatan lebih.

“Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang menjelang 2020.

“Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal, malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini antaranya pembinaan jalanraya, jambatan, sekolah, hospital dan klinik desa,” kata Wahid.

Dalam pelaksanaan mana-mana sistem baru, katanya lagi, akan berlaku isu-isu (teething problems) di peringkat awal pelaksanaannya.

“Memang tiada sistem yang sempurna kerana pasti ada kelemahannya.

“Walau apa pun, niat kita murni… InsyaAllah apa yang dihasratkan akan tercapai,” tambah beliau lagi.

Beliau menyeru agar semua pihak bersama-sama menjayakan  sistem percukaian yang baru diperkenalkan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");