Jenayah

Penagih lari bertempiaran

FELDA BUKIT BADING – Kepingan kotak dan pinggan polistirena tertera puluhan nombor empat digit dipercayai nombor toto yang diselitkan pada batang pokok kelapa sawit antara yang ditemui sewaktu Ops Bersih Port Penagihan Dadah, di sini, pagi semalam.

Operasi selama lebih kurang dua jam diketuai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Terengganu yang dilakukan di 10 sarang dadah dalam kawasan ladang kelapa sawit itu turut menyaksikan ada individu dipercayai penagih lari bertempiaran akibat terkejut dan takut.

Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Anwar Hamid berkata operasi berkenaan bertujuan membersihkan sarang dadah yang telah dikenal pasti sering dijadikan penagih melakukan kegiatan mereka apatah lagi kawasan felda selalu jadi tumpuan golongan tersebut.

Operasi bersempena Program ‘My Beautiful Malaysia’ (MBM) yang julung kalinya diadakan itu disertai lebih kurang 200 individu termasuk penduduk felda, Polis Diraja Malaysia, Bomba Sukarela Felda Bukit Bading dan Skuad 1Malaysia AADK Hulu Terengganu.

“Selain membersihkan port penagihan, gotong-royong kebersihan di kawasan penempatan felda juga dilakukan,” katanya.

Bakar peralatan menagih

Kata beliau, operasi itu lebih tertumpu dalam kawasan ladang kelapa sawit kerana pihaknya telah mengenal pasti beberapa sarang penagihan di lokasi berkenaan.

“Kesemua barang, peralatan dan pondok kecil dipercayai digunakan untuk menagih dikumpulkan lalu dibakar di lokasi terlibat kerana kita ingin memastikan matlamat operasi ini tercapai iaitu untuk memastikan kawasan penagihan benar-benar bersih.

“Walaupun operasi ini bertumpu kepada operasi pembersihan tempat menagih, namun ada yang dilihat melarikan diri kerana ketakutan sebaik menyedari kehadiran petugas,” katanya.

Kata Anwar, beberapa individu dipercayai terlibat berjaya dicekup tetapi kemudiannya terpaksa dilepaskan kerana tujuan operasi dilakukan hanya membersihkan kawasan sarang dadah.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sebaik operasi tamat dan terdahulu Majlis Perasmian MBM disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri merangkap Adun Ajil, Ghazali Taib.

Kenal pasti sarang dadah

Tambah Anwar, program MBM itu turut melibatkan Ops Bersih Port Penagihan Dadah dijadualkan diadakan enam kali pada tahun ini dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kampung lain lagi yang aktif sebagai lokasi kegiatan negatif berkenaan.

“Bangunan terbiar, rumah kosong dan kawasan ladang kelapa sawit antara lokasi sering menjadi tumpuan penagih bagi melepaskan gian mereka.

“Lantaran itulah, ladang di sini tidak terkecuali dan berdasarkan maklumat yang diberikan bekalan diperoleh daripada pengedar luar,” katanya.

Malah kata Anwar, kegiatan penagihan bukan sekadar melibatkan individu setempat sahaja tetapi kebanyakannya dari kampung lain.

Hulu Terengganu punyai empat tanah rancangan walaupun begitu katanya, keadaan sekarang masih lagi terkawal.

Buat masa ini hanya lima individu dari tiga buah felda diletakkan sebagai Orang Kena Pengawasan di bawah AADK.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan sehingga Mac 2015 seramai 1,938 orang Skuad 1Malaysia AADK Hulu Terengganu didaftarkan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");