Perak Hari Ini

Pertabalan Sultan Perak Ke-35: Balai Gambang Kekalkan Tradisi Melayu Perak

KUALA KANGSAR: Balai Gambang yang akan digunakan oleh Sultan Perak ke-35 untuk menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu hampir siap sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr Ir Safri Kamal Ahmad berkata, seni bina Balai Gambang tersebut mengambil contoh yang digunakan oleh Sultan Perak terdahulu.

Katanya, ia akan dihiasi dengan ukiran tradisi Melayu Perak.

“Signifikannya, penggunaan Balai Gambang ini adalah untuk mengekalkan tradisi pertabalan yang akan digunakan Sultan Perak sebagai akses Tuanku ke makam-makam ini,” katanya

Beliau berkata, Balai Gambang itu merupakan alat pertabalan yang digunakan untuk melakukan ziarah makam-makam Almarhum Sultan Perak terdahulu yang terletak di tebing Sungai Perak.

“Pada kali ini, Sultan akan menziarahi makam-makam bermula dari Kampung Gajah ke Teluk Intan.

“Bot pengiring yang akan bersama Balai Gambang dihadkan kepada bot-bot keselamatan dan perubatan serta bot yang akan membawa pawang DiRaja,” katanya lagi.

Safri turut berkata, Balai Gambang yang seberat 4.5 tan itu akan dinaiki oleh Sultan Perak bersama-sama kaum kerabat diantara 10 hingga 15 orang.

“Pemain nobat turut akan berada di dalam balai gambang yang akan memainkan nobat sepanjang perjalanan melalui Sungai Perak,” tambah beliau lagi.

Ujar beliau, pihaknya telah bekerjasama dengan tenaga pengajar serta pelajar daripada Fakulti Maritim, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Manjung dalam pembinaan Balai Gambang berkenaan.

Tegasnya, segala aspek termasuklah keadaan Sungai Perak yang telah berubah berbanding 30 tahun lalu perlu diberi perhatian.

“Kita hendaklah memastikan kedalaman air hendaklah mencukup bagi Balai Gambang tersebut belayar,” katanya.

Kelancaran Balai Gambang belayar akan menyaksikan koordinasi dan kerjasama yang baik diantara JKR, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang akan mengawal paras air mengikut jumlah air yang dilepaskan dari Empangan Chenderoh.

PERAKTODAY3

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");