Sukan Hari Ini

Piala Sultan Azlan Shah: Pasukan India janji aksi hebat

NEW DELHI, 2 April:

Peminat hoki boleh menjangkakan pasukan hoki lelaki India lebih lincah pada kejohanan ke-24 Piala Sultan Azlan Shah di Malaysia, menjanjikan permainan bercorak serangan di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Paul van Ass.

Bagi van Ass, yang membantu pasukan kebangsaan Belanda meraih pingat perak pada Sukan Olimpik London 2012, Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dari 5 hingga 12 April akan menjadi ujian besar dalam menyediakan pasukan India yang telahpun layak ke Olimpik Rio tahun depan.

Jurulatih berusia 54 tahun itu telah membimbing pasukan India sejak dua minggu lalu selepas mengambil alih kerusi panas itu selepas pemergian Terry Walsh dari Australia ekoran perbalahan.

Semasa ditemui di Stadium Mejar Dhyan pada Rabu petang semasa sesi latihan terakhir pasukan kebangsaan India itu, van Ass memberitahu Bernama, Piala Sultan Azlan Shah merupakan kejohanan penting kerana pemain akan menentang beberapa pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi daripada India.

Beliau sedang berusaha untuk memahami dan menganalisis corak permainan pasukan India, katanya dan menurutnya pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu.

Ditanya sudut mana yang sedang dimantapkan lagi dengan pemain, beliau menjelaskan setiap pemain pada puratanya boleh memegang bola kira-kira dua minit dan beliau sedang memberi tumpuan pada apa yang mereka boleh lakukan dalam baki 58 minit permainan.

“Menentukan kedudukan pemain merupakan paling penting dalam hoki, bukan hanya menumpukan pada serangan anda tetapi juga pertahanan,” katanya.

Beliau berkata pasukan sudah bersedia sepenuhnya bagi Piala Sultan Azlan Shah dan pasti akan memberi tekanan kepada pasukan lawan dalam setiap perlawanan dan akan memberikan saingan sengit serupa dalam semua perlawanan.

“Kami sudah tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan di Malaysia,” katanya namun enggan menetapkan sebarang sasaran bagi pasukan pada kejohanan itu.

Sementara itu, Pengarah High Performance Roelant Othmans, yang merupakan warganegara Belanda, berkata masih ada ruang untuk peningkatan prestasi pasukan sungguhpun mereka meraih pingat emas dalam Sukan Asia Incheon di Korea Selatan tahun lepas.

Othmans menegaskan pemain India memiliki kemahiran dan kelajuan tetapi masih berdepan masalah kekuatan mental dan juga strategi, terutamanya apabila berdepan pasukan lawan ranking lebih tinggi.

Katanya hanya terdapat 50 padang 50 astroturf di India berbanding 900 di Belanda. Beliau berkata hanya lima buah padang diselenggara dengan baik di India.

“Kadang kala, kami berdepan masalah untuk mendapatkan kumpulan pemain untuk dipilih,” kata Othmans.

Menurut Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), India menduduki ranking kesembilan berbanding Australia (1), Korea Selatan (8), New Zealand (9), Malaysia (12) dan Kanada (15), negara lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Pasukan India akan berlepas ke Malaysia lewat petang ini.

Perlawanan pertama India ialah menentang Korea Selatan pada 5 April diikuti bertemu New Zealand (6 April), Malaysia (8 April), Kanada (9 April) dan Australia (11 April).

Pasukan India:

Penjaga gol: PR Sreejesh, Harjot Singh.

Pemain pertahanan: Gurbaj Singh, Rupinder Pal Singh, Birendra Lakra, Kothajit Singh, VR Raghunath.

Pemain bahagian tengah: Manpreet Singh, Sardar Singh, Dharamvir Singh, Chinglensana Singh, SK Uthappa.

Pemain bahagian depan: Ramandeep Singh, SV Sunil, Akashdeep Singh, Nikkin Thimmaiah, Satbir Singh, Mandeep Singh.

-therakyatpost.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");