Sukan Hari Ini

Presiden AFC sokong Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR – Kempen fasa akhir yang dijalankan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menampakkan kesan apabila dia kini dilihat antara tiga calon favourite menjelang hari pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi slot Asia penggal 2015-2018 esok.

Difahamkan, kehadiran Tengku Abdullah sebagai salah seorang calon turut direstui oleh Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan seorang lagi calon berpengaruh, Sheikh Ahmad Fahad Al Ahmad Al Sabah dari Kuwait yang menyatakan sokongan kepada beliau hari ini.

Majlis pengundian akan berlangsung di Manama, Bahrain esok untuk memilih tiga orang yang akan mewakili Asia dalam Jawatankuasa Eksekutif FIFA.

Sebanyak enam calon bersaing untuk jawatan itu.

Selain Tengku Abdullah, Sheikh Ahmad Fahad dan Setiausah Agung merangkap Naib Pre­siden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima kini dilihat berada dalam senarai tiga calon favourite.

Tiga calon lagi ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan, Chung Mong Gyu; Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Datuk Worawi Makudi dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Oman, Sayyid Khalid Hamed Hamood Al Busaidi.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar, Saud Al Mohannadi menarik diri semalam.

Presiden AFC, Sheikh Salman akan terus di kerusinya untuk sekurang-kurangnya satu penggal lagi apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan sempena kongres kali ke-26 ini.

“Peluang Tengku Abdullah nampak semakin baik pada masa sekarang dan berdasarkan apa yang diberitahu perwakilan, mereka menerima kehadiran Tengku Abdullah yang mempunyai rekod yang baik sepanjang menjadi Naib Presiden AFC.

“Beliau telah bekerja keras sepanjang kempen ini sejak ber­ada di Bahrain dua hari lalu dan paling menggembirakan Presiden AFC, Sheikh Salman dari Bahrain dan seorang lagi calon yang turut bertanding Sheikh Ahmad Fahad yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Asia menyatakan soko­ngan kepada Tengku Abdullah.

“Seorang lagi calon, Kohzo Tashima juga nampaknya mene­rima sokongan daripada perwakilan kali ini dan ini merupakan percubaan kedua beliau selepas tewas dalam pemilihan penggal 2011-2014,” kata sumber ber­kenaan, yang rapat dengan kem pelobi Tengku Abdullah.

Seorang lagi sumber membe­ritahu, calon lain iaitu penyandang jawatan, Worawi dan Mong Gyu berdepan cabaran sukar untuk menang kali ini.

“Worawi telah menjadi exco semenjak tahun 1997 dan ramai perwakilan berasakan dia sudah terlalu lama di situ, jadi sudah tiba masanya muka baharu diberi peluang.

“Mong Gyu pula bukan calon popular dari Asia Timur berban­ding Tashima yang lebih senior serta lebih arif mengenai bola sepak Asia,” katanya.

Sementara itu Al Mohannadi memaklumkan beliau menarik diri daripada bertanding selepas mengadakan perbincangan de­ngan dua lagi wakil dari zon Asia Barat dan berasakan peluangnya untuk memenangi salah satu slot yang ditawarkan sangat tipis.

“Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dalam dunia bola sepak dan berharap bola sepak Asia akan kekal bersatu di bawah kepimpinan yang cemerlang,” kata Al Mohannadi dalam satu kenyataan. – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");