Berita Hari Ini

Raja muda Perlis saran masjid diurus secara kreatif dan bijaksana

ARAU: Pentadbir masjid disaran menguruskan rumah ibadat itu dengan lebih efisien, kreatif dan bijaksana dengan memperluaskan fungsinya, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, pengurusan masjid harus memperbanyakkan guna sama antara masjid seperti berkongsi kemudahan dewan, bengkel penyediaan keranda, peralatan, perpustakaan dan kelas komputer selain sebagai pusat komuniti dan ibadat.

“Dalam kesungguhan menguruskan operasi masjid, perlu diingatkan kemudahan tersebut hendaklah dikongsi secara bijak selain membuat penggiliran aktiviti kuliah agama, forum, kursus dan lawatan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, bertitah merasmikan program ‘Semarak Dakwah Ehya Masjid’ anjuran Kolej Komuniti Arau dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis di Masjid Ibnu Taimiyyah, Tambun Tulang, di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Mohd Noor dan Pengarah Kolej Komuniti Arau, Zaidah Jaafar turut hadir.

“Pengurusan yang bijaksana dapat menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga dan sebaliknya makmum bertambah. Perkongsian kepintaran dan kepakaran serta aset masjid pula dapat digunakan pada tahap optimum,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Pada majlis itu, baginda berdua berkenan menyampaikan sijil kolaborasi Kolej Komuniti Arau program yang dilaksanakan iaitu Pendidikan Sepanjang Hayat, Pengajian Islam Sepanjang Hayat dan Program Briged Sukarelawan Kolej Komuniti Arau serta Inkubator Asnaf.

Terdahulu Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan ceramah bertajuk ‘Cinta Tiga Rasa’. -BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");