Sukan Hari Ini

Regu Malaysia mula langkah kanan

GUNSAN, Korea Selatan – Regu Malaysia memulakan langkah kanan untuk mempertahankan kejuaraan pada hari pembukaan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 3 2014/15 Gunsan di Arena Wolmyeong apabila berjaya memenangi dua perlawanan awal dalam Kumpulan B semalam.

Pasukan negara yang turun selaku juara bertahan selepas memenangi Siri Super Istaf 2 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada Februari lalu (menewaskan Thailand), mempamerkan dominasi apabila mudah memenangi perlawanan menentang China de­ngan 21-8, 21-19 sebelum menundukkan Myanmar 21-14, 21-15 dalam aksi kedua.

Kejayaan tersebut mence­rahkan peluang Malaysia untuk meloloskan diri ke pe­ringkat separuh akhir biarpun tanpa kehadiran dua pemain iaitu tekong, Mohd. Syahir Rosdi dan perejam, Hanafiah Dollah yang membantu kemenangan ketika aksi di Melaka tempoh hari.

Ketiadaan dua pemain tersebut tidak menjejaskan aksi pasukan negara apabila trio negara, Sahidan Ali, Zuleffendi Sumari dan Mohd. Zamree Mohd. Dahan mudah melepasi set pertama dengan 21-8 dalam tempoh 15 minit.

Namun, pada set kedua mereka menerima sedikit tentangan tetapi regu negara berjaya mengawal permainan untuk menamatkan perlawanan de­ngan 21-19.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Abd. Talib Ahmad berkata, beliau begitu gembira dengan peningkatan prestasi tekong baharu, Hai­rul Hazizi Haidzir yang mula mendapat rentak dan beraksi cemerlang ketika diturunkan pada perlawanan menentang Myanmar.

“Saya tidak memberikan tekanan yang tinggi kepada regu Hairul Hazizi, Zuleffendi dan Zamree kerana mereka masih baharu dan saya mahu mereka bermain dalam kea­daan lebih tenang.

“Dua perlawanan hari ini tidak memberi masalah yang besar, namun cabaran seterusnya pasti le­bih besar dan kita perlu bersedia untuk bertemu Singapura esok (hari ini),” katanya.

Tatkala regu lelaki berjaya melepasi halangan awal itu, trio wanita negara, Norzubaidah Che Waab, Nor Farhana Ismail dan Elly Syahira Rosli terpaksa akur dengan regu Korea Selatan apabila tewas 19-21, 9-21 dan mereka bakal bertemu Thailand hari ini.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");