Jenayah

Rompak buat dana ‘jihad’

Kuala Lumpur: Merancang merompak bank untuk mendapatkan dana ‘jihad’ memerangi Malaysia. Itu antara strategi anasir pengganas membabitkan 17 individu termasuk dua anggota militan Negara Islam (IS) yang ditahan polis dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Kedah, Ahad lalu.

Malah, mereka turut merancang untuk menculik pemimpin politik negara selain mensasarkan beberapa pegawai tinggi pasukan keselamatan.

Sumber berkata, tindakan kumpulan itu untuk menculik beberapa orang kenamaan sebagai usaha bagi melancarkan jihad dan merealisasikan impian mereka menubuhkan negara Islam ala IS di Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka dikesan belum mempunyai kelengkapan mencukupi untuk melaksanakan hasrat ‘berjihad’ di tanah air seperti mana dilakukan di beberapa negara bergolak.

“Ini memberi kelebihan kepada pihak berkuasa untuk bertindak menahan mereka yang disyaki terbabit dalam perancangan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Sumber berkata, kumpulan itu menjadikan Thailand sebagai transit sementara sebelum pulang ke Malaysia menggunakan jalan darat.
“Mereka menggunakan ‘lorong tikus’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selepas pulang dari Syria.

“Antara yang ditahan dalam serbuan adalah dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Seorang remaja 14 tahun juga menjadi fokus dalam siasatan berhubung peranannya dalam gerakan itu.

“Tidak seperti serbuan sebelum ini, kumpulan pengganas baru ini didapati lebih agresif sehingga berlakunya pergelutan sebelum mereka ditahan,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang senjata ditemui namun pemeriksaan lanjut mendapati ada dokumen berkaitan cara untuk membuat bom.
“Salah seorang suspek mempunyai kemahiran membuat bom,” katanya.

Dalam kenyataan rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, semalam, beliau mengesahkan 17 suspek berusia antara 14 hingga 49 tahun ditahan pada 5 April lalu ketika mengadakan pertemuan sulit bagi merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang termasuk rancangan untuk menculik orang kenamaan.

Beliau berkata, matlamat kumpulan pengganas baru ini adalah untuk menubuhkan negara Islam ala IS.

Turut ditahan adalah dua anggota tentera, seorang pengawal keselamatan yang mempunyai akses kepada senjata api selain seorang anggota militan dari Indonesia merangkap bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api.

“Dengan tangkapan terbaru ini, jumlah rakyat Malaysia yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan di Syria adalah 92 saspek sejak operasi pertama dilancarkan pada Februari 2013,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");