Sukan Hari Ini

Saya bukan mata duitan – Raheem Sterling, Liverpool

LONDON: Penyerang muda Liverpool, Raheem Sterling menafikan dia seorang yang tamakkan wang, cuma tidak mahu tergesa-gesa menandatangani kontrak baharu, katanya kepada stesen penyiaran Britain, BBC.

Pemain itu yang beraksi di bahagian sayap bersama England digelar ‘pemain berusia 20 tahun yang gemarkan wang’ oleh beberapa media tempatan England selepas sentiasa berdolak dalik mengenai isu penyambungan kontrak baharu bersama The Reds.

Kontrak baharu ditawarkan Liverpool itu dikhabarkan cukup lumayan dengan nilai 100,000 pound (RM548,162) seminggu namun ia masih belum boleh memikat hati Sterling.

Begitupun katanya, wang bukanlah faktor penentu dalam perbincangan kontrak baharu itu dan menolak untuk membincangkannya hingga sekurang-kurangnya penghujung musim ini.

“Ia tidak berkaitan dengan duit langsung,” kata Sterling. “Ia tidak pernah berkaitan dengan duit. Saya bercakap mengenai memenangi trofi sepanjang karier saya. Hanya perkara itu saya cakapkan…

“Saya tidak pernah bercakap mengenai berapa banyak kereta yang ingin saya pandu, berapa banyak rumah yang saya miliki. Saya secara jelas mahu menjadi terbaik yang termampu.

“Saya tidak mahu digelar pemuda 20 tahun yang tamakkan wang. Saya mahu dilihat sebagai pemuda yang gemar bermain bola sepak dan melakukan yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Kali terakhir Liverpool memenangi trofi ialah pada 2012 dengan menjulang trofi Piala Liga sebelum dikecewakan pada saat akhir dalam kempen Liga Perdana musim lalu oleh Manchester City untuk berada di kedudukan kedua.

Begitupun, Sterling berkata dia mungkin memeterai kontrak baharu bersama kelab itu sekiranya ia ditawarkan kepadanya tahun lalu.

“Mungkin jika ketika itu saya ditawarkan kontrak baharu, sudah pasti saya akan menandatanganinya serta merta, mungkin juga dengan jumlah wang yang lebih sedikit berbanding ketika ini.

“Saya hanya fikir masanya sudah tidak kena,” katanya.

Dengan kontrak sedia ada yang dilaporkan media sekitar 35,000 pound (RM191,832) seminggu akan tamat dalam tempoh dua tahun, spekulasi mengenai keinginan Sterling untuk meninggalkan Merseyside kian hangat dengan beberapa kelab gergasi England dan luar negara dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Liverpool yang ketika ini berada pada kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris akan bertemu Arsenal dalam pertembungan Liga Perdana, Sabtu ini. – Reuters/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");