Sukan Hari Ini

Sepak takraw diramal ke separuh akhir

SKUAD sepak takraw lelaki negara mendapat laluan mudah untuk mara ke separuh akhir pusingan ketiga Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf bermula 23 hingga 26 April ini di Gunsan City, Korea Selatan.

Malaysia yang menjuarai pusingan kedua di Melaka pada Februari lalu, diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Singapura dan China.

Menurut Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), pasukan ranking nombor satu dunia Thailand, mengetuai cabaran Kumpulan A bersama dengan tuan rumah Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader menyifatkan undian peringkat kumpulan bakal menyaksikan pasukan berbakat menampilkan aksi terbaik dalam kalangan pasukan yang bertanding.

Menurutnya, dua negara teratas berdasarkan ranking dunia Istaf terkini telah diundi untuk mengetuai setiap kumpulan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

“Undian peringkat kumpulan menjadi permulaan kepada siri aksi menarik dan menghiburkan yang bakal dapat kita saksikan di mana pasukan yang berbakat akan menampilkan aksi hebat dalam usaha mengorak langkah untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Istaf SuperSeries 2014/15,” katanya.

Skuad wanita negara pula berdepan laluan getir selepas diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan dan pilihan utama Thailand dan Korea Selatan.

Berdasarkan format kejohanan, dua teratas daripada kategori lelaki dan wanita akan mara ke separuh akhir manakala pasukan yang lain akan beraksi dalam perlawanan playoff bagi menentukan ranking.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");