Sukan Hari Ini

Stadium Hang Jebat jadi rebutan

KUALA LUMPUR – Stadium Hang Jebat menjadi rebutan beberapa pasukan yang terpaksa mendapatkan stadium yang memiliki kemudahan untuk menjadi gelanggang perlawanan pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan.

Gelanggang lain seperti Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) turut dalam perhatian pasukan-pasukan berkenaan.

Dua pasukan telah mengesahkan hasrat untuk menjadikan stadium di Melaka itu sebagai gelanggang alternatif ialah PKNS FC dan Kuala Lumpur sementara UiTM FC masih belum ada sebarang perancangan.

Stadium Hang Jebat kini menjadi gelanggang tuan rumah kepada satu lagi kelab Liga Perdana, DRB Hicom selain Melaka United yang bersaing dalam Liga FAM.

Namun, stadium itu nampaknya akan digunakan oleh satu lagi pa­sukan iaitu PKNS FC, apabila pengurusnya Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan mereka telah mengemukakan surat permohonan kepada Perbadanan Stadium Melaka untuk mengadakan tiga perlawanan di Stadium Hang Jebat pada 22 Jun, 3 Julai dan 7 Julai.

“Apa yang boleh kami katakan setakat ini Stadium Hang Jebat bakal menjadi gelanggang tuan rumah untuk kami sepanjang bulan Ramadan dan kami sudah berikan surat rasmi kepada pihak Perbadanan.

“Hanya satu perlawanan sahaja (3 Julai) kami tidak menggunakan Stadium Hang Jebat kerana bertembung dengan jadual perlawanan dengan DRB Hicom yang akan menggunakan stadium berkenaan untuk menentang Sabah.

“Jadi, mungkin pada minggu depan kami akan melakukan perundingan lanjut dan secara lisan pun kami telah beritahu kepada FAM yang kami telah berjaya mendapatkan Stadium Hang Jebat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Kuala Lumpur dalam masa sama turut meluahkan keinginan menjadikan Stadium Hang Jebat sebagai gelanggang pengganti kepada Stadium Merdeka sepanjang Ramadan tetapi bersedia beralih ke arah ke stadium lain jika keadaan tidak mengizinkan.

“Kami akan memohon menggunakan Stadium Hang Jebat namun sekiranya tidak dapat maka kami terpaksa meminta FAM memberi kebenaran kami bermain di Inspen walaupun kemungkinan stadium itu tidak memenuhi syarat, namun kami tiada pilihan lain.

“Stadium Selayang dan Stadium Shah Alam berkemungkinan tidak dapat digunakan kerana ada perlawanan lain, jadi sekarang pilihan yang ada pada kami sangat terhad,” kata Setia­usaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa.

Bagi pasukan UiTM FC yang diwakili Mustaza Ahmad selaku Ketua Pusat Sukan UiTM, dia masih belum melakukan sebarang peranca­ngan untuk mencari stadium lain di samping faktor kos tambahan turut menjadi kekangan. – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");