Perak Hari Ini

Status Restoran ‘Pork Free’ Undang Keraguan

20150409-Pork-Free

IPOH: Ramai individu terutamanya yang beragama Islam kini masih lagi keliru mengenai istilah ‘pork free’ dan halal, apatah lagi kepada individu yang bukan Islam.

Malah segelintir daripada kita juga sering kali berhadapan dengan dilema apabila diajak untuk mengunjungi sesuatu premis makanan yang mengunakan istilah pork free oleh pemiliknya.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, ramai peniaga yang bukan beragama Islam gemar meletakkan tanda pork free di kedai milik mereka bagi menggalakkan pelanggan yang beragama Islam berkunjung ke situ.

Namun, pada hakikatnya, istilah Pork free tidak bermaksud HALAL dan bagi segelintir masyarakat bukan Islam, perkataan halal itu hanya mengkhususkan tiada penggunaan khinzir dalam masakan yang dihidangkan kepada pelanggan.

Hal ini menggambarkan tahap pemahaman masyarakat kini terhadap isu Halal masih tidak belum cukup jelas.

Sebagai umat Islam, mencari makanan yang HALAL adalah WAJIB kerana  ianya akan menjadi sebahagian daripada darah daging.

Peraktoday.com.my cuba mendapatkan pandangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Nizar Zakaria berhubung perkara ini.

“Ada perkara yang boleh dan ada perkara yang tidak boleh begitu kerana adanya pekara yang halal dan haram untuk dimakan.

“Ianya juga memberikan kesan kepada diri jika kita memakan makanan yang haram atau boleh menimbulkan syubhah,” katanya.

Tegasnya, dalam pemilihan makanan itu orang Islam perlu memastikan produk berkenaan disahkan halal dan toyyibah iaitu mengikut piawaian yang khusus biarpun pengguna punya hak memilih makanan.

Katanya lagi, daripada segi hukum juga telah menerangkan mengenainya dan pihak berwajib telah menetapkan piawaian melalui jabatan serta agensi terpilih bagi memantau untuk memberikan kelulusan pensijilan halal.

“Ikut garis panduan agama, dan juga peraturan yang telah ditetapkan yang tidak menyalahi hukum dan perundangan,” katanya.

Katanya lagi, kelulusan halal hanya akan diberikan kepada premis perniagaan setelah ianya mengikuti piawaian yang ditetapkan tanpa mencampuradukkan produk makanan yang halal bersama dengan barangan yang haram.

Tambah Nizar lagi, pengguna mempunyai kuasa untuk memilih, memerhati, melihat dan bertanya sekiranya merasa ragu serta sangsi terhadap sesuatu produk makanan tersebut.

“Orang Malaysia kini optimis jika sudah terlihat logo halal, dan juga premis yang meletak ‘free pork’ menimbulkan tanggapan bahawa ianya halal meskipun tiada sijil halal daripada badan khusus yang telah membuat pemantauan,” jelasnya.

Katanya lagi, umat Islam tidak seharusnya mudah membuat tanggapan sendiri apabila terlihat pelbagai perakuan dan wajib mengetahui kesucian sebenar sesuatu makanan terlebih dahulu.

“Memang dinyatakan ‘pork free’ tapi berkemungkinan makanannya telah bercampur dengan alcohol atau ramuan terlarang dan tidak boleh diyakini sepenuhnya.

“Kuasa terletak kepada kita sendiri dan kita tahu menilai produk makanan itu daripada sumbernya yang boleh menimbulkan keraguan… jadi apa perlu lagi untuk yakinkan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi kenyakinan juga mesti berasaskan kembali kepada hukum Fiqh itu sendiri dan juga mengelak daripada persepsi bahawa produk yang jelasnya tidak halal adalah halal.

“Itu persepsi kita sendiri apabila kita sendiri tidak tahu sejelas-jelasnya mengenai sumber makanan tersebut dan pembuatannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau menasihatkan agar umat Islam perlu kembali kepada konsep halal yang sebenar bagi menyelamatkan keadaan dan perlu bersesuaian dengan norma-norma hukum mengenai halal atau haram itu sendiri.

Firman Allah SWT. dalam surah Al-Baqarah ayat 172 : Bermaksud: “Wahai orang yang beriman!, makanlah daripada benda-benda yang baik ( yang halal ) daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar hanya beribadah kepada-Nya”.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");