Membawang Hari Ini

Tabah hadapi ujian

Apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap satu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan rutin pada Jun tahun lalu, pelakon Mak Jah atau Maimunah Ahmad, 67, tetap optimis dengan ujian melanda.

Segala rasa sakit dan derita diletak ke tepi. Tumpuannya kini terus bekerja mencari sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan rawatan yang mencecah hampir RM4,000 sebulan.

Mak Jah berkata, sebelum ini ada beberapa rakan produser dan pengarah yang masih memberi tawaran berlakon, cuma kebanyakannya mereka yang sudah biasa bekerja dengannya.

“Saya perlu sekurang-kurangnya empat hingga enam tawaran berlakon untuk mencukupkan kos rawatan. Rawatan dilakukan termasuk pembelian ubat kanser, darah tinggi dan kencing manis.

“Jujur saya katakan, saya sebenarnya segan kalau orang luar menganggap saya sengaja meraih simpati tapi saya bukan meminta sedekah, sebaliknya mohon terus diberi ruang untuk berlakon kerana itu saja yang saya tahu lakukan setakat ini,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun seniwati Mariani, baru-baru ini.

Mak Jah yang sering membawa watak komedi dan seram, mendapat kekuatan untuk terus bekerja di saat ujian melanda daripada sokongan dan semangat kawan.

Katanya, selain keluarga, dia turut mendapat semangat melalui kuliah agama yang sering dihadiri di masjid berhampiran rumahnya.

“Anak memang membantu namun sebagai ibu, saya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan rela terus bekerja selagi terdaya.

“Saya juga faham anak mempunyai tanggungjawab mengurus rumah tangga masing-masing. Mereka ada juga kumpul duit untuk tampung perbelanjaan perubatan setiap bulan tapi mereka juga ada komitmen sendiri.

“Malah beberapa persatuan artis seperti Yayasan Artis 1Malaysia ada menyumbang RM2,000 dan Yayasan Aziz Sattar pula RM500 baru-baru ini,” katanya.

Mak Jah akui terpaksa mengeluarkan hampir semua hasil tabungannya sejak dulu untuk menampung kos rawatan.
Selepas beberapa kali dipujuk, Mak Jah akhirnya sedia berkongsi cerita yang wang dalam simpanannya hanya mampu bertahan sehingga akhir bulan ini.

Katanya, kos untuk bulan depan dan bulan-bulan seterusnya diharapkan melalui tawaran berlakon akan datang.

“Sebenarnya saya sedih sangat apabila ada rakan salam ‘berisi’ apabila kami bertemu. Walaupun tak banyak, saya terharu kerana tahu ada antara mereka ada masalah sendiri.

“Kadang kala ada juga produksi bayar lebih daripada dijanjikan. Contohnya, saya dijanjikan dibayar RM1,000 untuk berlakon, apabila periksa baki akaun bank, ada transaksi sebanyak RM1,500.

“Bila saya telefon tanya kenapa bagi terlebih, mereka kata saja mahu beri lebih sebagai sedekah buat saya,” kata Mak Jah sedih.

Selain melakukan rawatan secara moden di Hospital Kuala Lumpur, Mak Jah juga menjalani rawatan alternatif di Pusat Rawatan Islam.

“Ustaz yang sering saya temui banyak beri kata-kata semangat. Katanya, Allah pilih saya untuk diberi ujian ini dengan tujuan saya diberi masa untuk muhasabah dan kembali mendekatkan diri pada-Nya.

“Lihat berapa ramai yang ‘pergi’ dalam keadaan mengejut tapi tidak sempat bertaubat dan mengenali Allah dengan lebih dekat,” katanya.

Memulakan kerjaya seni sebagai jurusolek artis sebelum bergelar pelakon, Mak Jah kini antara pelakon veteran yang sering diberi watak ibu atau orang gaji.

Dia bakal tampil sebagai teraju utama filem seram Selfie Dari Kubur arahan M Subash yang kini ditayangkan di pawagam sejak 23 April lalu.

Mak Jah juga baru selesai menjalani penggambaran filem Keranda Tok Wan Terbang arahan Hashim Rejab.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");