Berita Hari Ini

TEKUN sasar tarik lebih ramai Orang Asli ceburi perniagaan

ROMPIN: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) menyasarkan untuk menarik lebih ramai golongan Orang Asli di seluruh negara menceburi bidang perniagaan dengan menawarkan dana khas perniagaan tanpa penjamin dan cagaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana khas berjumlah RM8 juta untuk orang Asli menerusi TEKUN telah pun dilancarkan dua tahun lepas namun sehingga kini hanya RM1.6 juta yang digunakan.

“Di Pahang sahaja jumlah pinjaman menerusi dana khas berkenaan hanya berjumlah RM500,082 melibatkan 73 orang peminjam dengan hampir separuh daripada jumlah tersebut iaitu RM215,000 digunakan oleh 73 usahawan Orang Asli di Rompin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pemimpin bersama masyarakat Orang Asli Bukit Serok, Bandar Tun Razak yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin di sini semalam.

Katanya, kebanyakan peminjam menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, penternakan kambing serta lembu dan terbukti berjaya meningkatkan taraf ekonomi mereka yang selama ini bergantung dengan aktiviti ekonomi tradisional seperti pertanian dan mencari hasil hutan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pembangunan di Rompin khususnya untuk masyarakat Orang Asli hanya dapat diteruskan jika BN memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

“Jika pembangkang menang dalam PRK kali ini, mereka tidak dapat melakukan apa-apa pembangunan dan perubahan kepada rakyat Rompin kerana BN merupakan kerajaan di Pahang.

“Kelangsungan pembangunan hanya dapat dilakukan jika calon BN diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat kerana menerusinya kerajaan menurunkan peruntukan dalam jumlah tertentu bagi melaksanakan program dan projek pembangunan yang memerlukan kelulusan segera,” katanya. – BERNAMA

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");