Jenayah

Tindakan licik seludup rokok tumpas

KOTA BHARU – Tindakan licik sindiket penyeludupan rokok dipercayai didalangi golongan berpengaruh yang bergerak aktif sejak dua tahun lalu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan, di sini, semalam.

Serbuan bermula jam 11 pagi yang disertai 10 anggota dan pegawai UPP negeri dari Kota Bharu, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga serta Rantau Panjang, menyerbu dua premis rumah sewa yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok keretek dan rokok putih di Jalan Paya Senang, Telipot, di sini.

Komander UPP negeri, Rusli Karim yang mengetuai operasi bersama tiga lori dan kenderaan MPV jabatan turut turun ke lokasi, meninjau kawasan yang menjadi sasaran dalam serbuan itu.

Menurutnya, premis berkenaan yang ditinggalkan kosong dengan pintu berkunci dari dalam terpaksa dipecahkan.

Hasil pemeriksaan katanya, pihak UPP menemui lebih 800 kotak mengandungi 40,000 karton rokok seludup pelbagai jenama di dua premis berkenaan yang sudah lama disimpan di situ sebelum dijual di pasaran tempatan dan nilai rampasan dianggarkan hampir RM5 juta.

“Kita bertindak hasil maklumat orang awam dan risikan pihak kami sejak sekian lama di kawasan terbabit.

“Walaupun kita mengambil masa agak panjang untuk melalukan risikan di kawasan ini, namun kita berjaya memperoleh rampasan yang besar,” katanya kepada pemberita.

Rusli berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan menggunakan van dan lori untuk mengangkut semua rokok tersebut sebelum disimpan di premis berkenaan.

“Sindiket ini menggunakan tiga laluan termasuk Lebuh Raya Timur Barat laluan Gua Musang- Kuala Krai dan Lebuh Raya Pantai Timur melalui Terengganu untuk menjalankan aktiviti penyeludupan.

“Ini adalah rampasan terbesar tahun ini dan kami percaya, sindiket ini mempunyai rangkaian yang sempurna serta terancang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");