Perak Hari Ini

Tindakan Tegas Terhadap Individu Yang Gagal Lunaskan Pinjaman

IPOH: Kerajaan Negeri bakal menyenarai hitamkan nama peminjam dan tidak akan memberikan sebarang potongan diskaun kepada peminjam yang gagal melunaskan bayaran balik Pinjaman Pengajian Tinggi Anak-Anak Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kerajaan negeri turut mendapati tunggakan pinjaman pendidikan tersebut adalah sangat tinggi.

“Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Negeri Perak telah bersetuju untuk tidak memberikan diskaun atau rebat kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak pada 28 April lalu.

“Selain itu, bagi peminjam yang enggan membayar langsung pinjaman, ahli mesyuarat bersetuju untuk menyenarai hitamkan nama peminjam dengan memberi nama-nama mereka kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan menggunakan perkhidmatan Credit Tipp Off Service (CTOS),” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang peminjam-peminjam berkenaan daripada pergi ke luar Negara.

Amin turut berkata, analisa tunggakan yang berakhir pada 31 Disember 2014, jumlah tunggakan Pinjaman Pengajian Tinggi Anak-Anak Negeri Perak sebanyak RM21,493,804.

“Jumlah tunggakan itu telah meliputi 4,339 pelajar yang meliputi Akaun Amanah Bumiputera, Akaun Amanah Bukan Bumiputera dan Akaun Amanah Pengajian Islam,” katanya.

Amin turut menafikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai dana untuk memberi pinjaman kepada pelajar di negeri itu.

“Kita masih ada dana tetapi jumlahnya masih sama dan kita tak boleh berikan pinjaman kepada lebih ramai pelajar.

“Permohonan pinjaman makin hari makin meningkat dan jika kita dapat semula pinjaman tunggakan itu, kita boleh besarkan lagi dana untuk diberikan,” tegasnya.

Amin menegaskan bahawa peminjam diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan hutang berkenaan sebaik sahaja menerima surat yang dikeluarkan oleh kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri telah membenarkan peminjam-peminjam tegar ini untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan Unit Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak untuk menyelaras dan menyusun semula jadual pembayaran balik pinjaman secara ansuran,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan Darul Ridzuan, petang tadi, di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");