Membawang Hari Ini

Velvet saksi perjuangan wanita

MEMBUKA tirainya bermula 22 April sehingga 26 April lalu, teater Velvet taruhan produksi teater Komplot Ceretek mendapat sambutan hebat daripada peminat seni teater tempatan.

Dipentaskan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), karya yang merupakan sentuhan asal pengarah Khairul Amin ini berkisarkan mengenai jatuh bangun seorang wanita yang sering kali dikaitkan sebagai seorang yang lemah.

Bagaimanapun, menurut Khairul Amin, menerusi pementasan teater ini, apa yang dipaparkan adalah realiti seorang wanita itu yang mana walaupun dalam lemah namun masih ada kekuatan yang terselindung dalam dirinya.

“Kisah dan tindak tanduk watak di dalam cerita ini begitu dekat dengan penonton yang barangkali akan melihat diri mereka sendiri di dalam pementasan ini.

“Karya ini cuba mengajar kita menghadapi satu realiti, bahawa tidak semua orang baik itu tiada jahatnya,” katanya mengenai karya tulisannya sendiri itu.

Jelas Khairul Amin, watak yang diilhamkan menerusi karya ini masing-masing mempunyai keterdesakan dalam diri yang memerlukan mereka untuk cepat bertindak.
“Kerana itu plotnya juga banyak mengangkat kisah manusia yang ditindas dan menindas.

“Malah ia turut mengupas mengenai pengorbanan, persahabatan, perjuangan dan lain-lain perkara atau isu berkaitan kehidupan kita,” katanya.

Berkongsi ilham menulis karya itu, akui Khairul Amin, dia menginspirasikan Velvet daripada sebuah pemerhatian dan pemikiran.

“Dalam naskhah ini, saya cuba sampaikan beberapa mesej yang dilihat dekat dengan masyarakat kita.

“Tujuannya untuk memudahkan permainan dan penyampaian subteks yang boleh mengajak penonton atau pembaca menginterpretasikan mengikut rasa dan pemerhatian mereka,” katanya.

Pengarah puas hati dengan pelakon

Mempertaruhkan pelakon hebat seni teater tempatan seperti Zahiril Adzim, Keyna Amin, Fazleena Hishamudin dan Nazri Ahmad sebagai teraju utamanya, Khairul Amin memberitahu, dia sangat berpuas hati dengan semua pelakon yang telah terlibat menjayakan pementasan berkenaan.

Ujarnya, gabungan pelakon terbaik juga adalah antara sisi menarik bagi pementasan berkenaan.

“Apa yang saya dapat katakan, menarik mengenai teater yang saya arahkan kali ini adalah daripada segi pemilihan dan gabungan pelakon-pelakonnya yang mempunyai kehebatan masing-masing, baik yang baru mahupun yang lama.

“Walaupun ada di antara mereka pertama kali digandingkan tetapi masing-masing memberikan komitmen yang terbaik,” katanya berbangga kerana semua pelakon berjaya memainkan peranan masing-masing dengan jayanya.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana mendapat respons positif daripada audiens yang hadir pada malam pementasan Velvet.

“Alhamdulillah, kami telah mendapat respons positif khususnya berkaitan mutu lakonan dan persembahan secara amnya

“Apa pun, terima kasih kepada semua yang menyokong kami sepanjang pementasan teater ini,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi teater Velvet juga, Khairul Amin cuba menggabungkan teknik-teknik yang pelbagai dalam persembahan.

“Perkara yang menambah rasa teruja saya untuk melihat teater Velvet ini siap sebagai sebuah teater di pentas adalah daripada aspek penyampaian rasa, gambaran suasana dan susunan transisi babak serta adegan dalam menyampaikan mesej dan ceritanya yang membuai rasa.

“Karya yang sebelum ini hanya diatas kertas telah diterjemahkan atas pentas dengan begitu berkesan.

“Dan ia membuatkan saya begitu teruja,” katanya.

Mengenai mesej yang hendak disampaikan pula, katanya, bukan mahu mendabik dada tetapi dia yakin, penonton boleh memperoleh pelbagai mesej daripada pementasan tersebut.

“Apapun, terpulang kepada penonton yang menyaksikannya, ada yang mungkin tersentuh kerana perjuangan hidup watak Dian, mungkin juga tersentuh melihat babak yang romantis, penyampaian puisi dan lain-lain.

“Tetapi, apa yang saya harapkan iainya dapat memberikan panduan dan pengajaran kepada audiens.

“Yang penting, menerusi karya ini kerana terdesak, manusia mampu melakukan pelbagai perkara buruk dan di luar dugaan,” katanya.

Cabaran penulisan skrip

Berkongsi cabaran dalam mementaskan Velvet, jelas Khairul Amin, dia berhadapan dengan cabaran untuk menghasilkan skrip bagi karya ini.

“Biarpun ia ditulis oleh saya sendiri, kadangkala sukar untuk saya menginterpretasikan apa yang ada kepada skrip.

“Sehinggakan ada yang berlaku dalam babak-babak yang sepatutnya dilihat lebih daripada biasa.

“Saya juga tidak mahu terkongkong dalam pemikiran saya seorang dan cuba melihat daripada pelbagai perspektif yang ada dengan meletakkan diri di kerusi penonton,” katanya.

Selain itu, Khairul Amin mengakui, dia berasa cukup kerdil apabila perlu mengarah pelakon yang mempunyai nama besar dalam bidang teater.

“Zahiril, Fazleena dan Nazri mempunyai pengalaman yang besar dab lebih luas dalam bidang teater berbanding saya.

“Kadangkala terasa diri ini kecil berdampingan bersama mereka tetapi, apa yang saya dapat adalah pengalaman yang lebih baik yang saya pelajari dan perolehi daripada mereka.

“Bagi saya, mereka begitu murah ilmu dan tidak lokek berkongsi pengalaman yang ada,” katanya.

Zahiril kembali beraksi

Memainkan peranan sebagai Mukhsin, pelakon Zahiril Adzim berkata dia gembira kerana diberi peluang menjayakan teater berkenaan.

“Komplot Ceretek bertanggungjawab dalam membawa saya kembali ke pentas teater menerusi karya ini.

“Setelah beberapa tahun tidak bermain teater, saya cuba untuk membuat yang terbaik dengan lakonan dan pembawaan mengikut tuntutan watak,” katanya.

Akui Zahiril, dia bagaimanapun, mengambil masa yang panjang untuk kembali ke pentas teater disebabkan kekangan masa dan komitmen serta jadual kerja yang agak padat.

“Hal ini juga merupakan sebab kenapa tawaran daripada rakan dan produksi lain yang menawarkan untuk berlakon teater sebelum ini terpaksa ditolak.

“Mungkin sudah rezeki saya bersama dengan Komplot Ceretek menerusi teater Velvet.

“Jujurnya, saya gembira dapat bekerja dengan mereka,” katanya selesa menjadi Munkhsin kerana ianya tidak terlalu serius dan berat.

Pelakon cabar diri

Menurut Keyna Armin yang membawakan watak Dian di usia muda memberitahu, menjadi Dian adalah sesuatu yang berat baginya kerana masih hijau dalam bidang ini.

“Latihan dan persiapan untuk teater ini mengambil masa dua bulan, namun saya percaya dengan kehebatan naskhah dan kredibiliti pengarah, Dian menjadi di mata penonton,” katanya.

Baginya, Velvet sebuah karya yang berat, padat dengan mesej dan penceritaan di dalamnya.

“Kerana itu, saya sangat teruja untuk berkongsi rasa, segala perasaan dan pengalaman menjadi Dian bersama audiens,” katanya watak tersebut melakar satu sejarah dalam hidupnya.

Sementara Fazleena Hishamuddin yang membawakan watak Dian di usia tuanya berkata, watak tersebut berat dan penuh dengan makna tersirat.

“Saya perlu memahami karya ini sepenuhnya agar dapat meletakkan penghayatan yang betul untuk meyakinkan khalayak.

“Lagipun, Velvet merupakan naskhah yang bersifat realisme dan ‘heavy drama’ yang memerlukan fokus dan disiplin yang tinggi.

“Justeru ia mencabar akal dan fizikal saya untuk memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");