Isu Panas

Azmin Taat Setia Pada Wan Azizah

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mengulangi kesetiaannya terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti itu.

Sehubung itu tegas beliau, tiada pihak termasuk dirinya harus mencabar kedudukan Dr Wan Azizah dalam PKR.

“Tidak ada sebab mana-mana pihak harus mencabar kedudukan Kak Wan (Dr Wan Azizah).

“Saya lebih yakin kepada Dr Wan Azizah untuk memimpin parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas beceramah di Kubang Ulu di sini, Ahad malam.

Tegas menteri besar Selangor itu lagi, tiada sebab baginya untuk mengambil alih jawatan presiden daripada Dr Wan Azizah kerana pengasas parti itu terbukti berjaya mentadbir PKR dengan baik.

“Dr Wan Azizah adalah presiden parti yang terbukti cukup efektif dan telah mengasaskan parti daripada 1999 sehingga hari ini.

“Dalam tempoh yang begitu singkat, PKR sudah menjadi sebuah parti yang cukup kuat dalam politik arus perdana di Malaysia. Ini sumbangan besar Dr Wan Azizah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan sekumpulan kira-kira 20 individu yang mendakwa diri mereka ahli PKR Selangor menyatakan bantahan di Pulau Pinang terhadap pencalonan Dr Wan Azizah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Menamakan diri mereka sebagai Suara Akar Umbi Keadilan (Sauk), kumpulan yang diketuai Mazli Saring itu juga mencadangkan supaya Azmin mengambil alih kepimpinan PKR daripada Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun Azmin mengakui tidak mengenali Mazli malah meminta wartawan untuk menyemak sendiri status keanggotaan ketua kumpulan itu dalam PKR.

“Saya tak kenal (Mazli), anda kena semak dakwaan itu,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");