Sukan Hari Ini

Bakar suar dek kecewa

Georgetown: Kelab Penyokong pasukan Pulau Pinang Brigade 07 memohon maaf atas tindakan membakar suar selepas perlawanan skuad Harimau Kumbang menentang UiTM FC di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu.

Namun, mereka menafikan laporan sebuah akhbar yang menyatakan tindakan itu berpunca akibat rasa tidak puas hati dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang tidak menggantikan Alberto Goncalves da Costa atau lebih dikenali sebagai Beto.

Jurucakap kelab Abdul Hafiz Abdul Halim berkata, pihaknya berasa terkilan dengan laporan itu yang dilihat mencalarkan nama Brigade 07 yang sebelum ini sentiasa bersama dan memberi sokongan kepada skuad Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya mahukan penjelasan daripada Pengurus FAP mengenai prestasi skuad kendalian Jacksen Ferreira Tiago yang merosot dan bukan mempertikaikan keputusan persatuan mengekalkan pemain import itu yang kurang menonjol dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Kami bertindak demikian kerana kecewa dengan prestasi ditunjukkan pasukan Pulau Pinang bukannya mempersoal pengurusan yang masih mengekalkan Beto.

“Dakwaan akhbar tempatan itu tidak tepat, malah kami juga dilemparkan kata-kata kesat oleh individu terbabit dengan pihak pengurusan, tetapi itu bukan cara untuk menegur tindakan kami,” katanya.

Dalam pertemuan itu Pulau Pinang menewaskan UiTM FC 3-0 melalui jaringan Lee Gil Hoon pada minit ke-39 dan 80 sebelum gol penamat dijaringkan Hilton Mauro Moreira pada waktu kecederaan.

Abdul Hafiz berkata, pihaknya menuntut individu yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka agar tampil dan memohon maaf kepada Brigade 07.

“Kami mahu dia membuat pemohonan maaf kepada kami yang selama ini menyokong Harimau Kumbang tanpa berbelah bagi dan berharap pasukan ini akan melangkah ke Liga Super musim depan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Azizudin Mohd Shariff memohon maaf atas apa yang berlaku antara kelab penyokong Pulau Pinang dengan pihak pengurusan skuad itu.

“Sebagai pengurus pasukan, saya mohon maaf. Apa yang berlaku, pegawai pasukan meminta supaya suar tidak dinyalakan dalam stadium kerana ini merugikan kewangan FAP.

Mungkin semasa perbincangan berlaku salah faham yang tak disengajakan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");