Sukan Hari Ini

BAM senaraikan Arif

PRESTASI memberangsangkan dipamerkan pemain bebas, Mohd Arif Abdul Latiff membolehkan dirinya tersenarai dalam kalangan 20 pemain yang akan menganggotai skuad negara ke Sukan Sea di Singapura, bulan depan.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menjelaskan, pemilihan Mohamad Arif adalah berdasarkan prestasi memberangsangkan dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan yang disertainya sejak Januari tahun ini.

“Pemilihan ini menunjukkan saya bersikap terbuka. Saya mempertimbangkan bukan sahaja pemain BAM, malah pemain dari luar (BAM) juga. Jika mereka memiliki kualiti, mereka layak berada dalam pasukan.

“Arif bermain baik, lebih baik daripada sesetengah pemain BAM bukan sahaja semasa pemilihan tetapi dalam beberapa kejohanan sejak Januari lalu,” jelas Frost mengumumkan 20 pemain, yang masing-masing terdiri dari 10 pemain lelaki dan wanita pada temasya dwitahunan itu di Singapura.

Selain Mohamad Arif, turut disenaraikan dalam acara perseorangan lelaki ialah Chong Wei Feng, Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Dalam kategori wanita, pemain yang terpilih ialah Tee Jing Yi, Ho Yen Mei, Lim Yin Fun dan pemain berusia 15 tahun Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita.

“Kami memilih pemain muda, Goh Jin Wei yang akan membuat penampilan sulung dalam pasukan senior kebangsaan dan saya teruja untuk melihat beliau beraksi dalam acara individu dan berpasukan,” kata Frost.

Sementara itu, dalam kategori beregu, Frost memilih Goh V Shem-Tan Wee Keong dan Teo Kok Siang-Mak Hee Chun untuk bersaing dalam acara beregu lelaki manakala Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Amelia Anscelly-Soong Fie Cho pula akan beraksi dalam acara beregu wanita.

Pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing pula akan tampil bersaing dalam acara beregu campuran.

Mengulas mengenai sasaran pada Sukan Sea 2015 pada kali ini, Frost optimis bahawa kedua-dua pasukan lelaki dan wanita mampu memenangi pingat manakala dalam acara individu, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya empat pemain mara ke perlawanan akhir.

“Pada masa ini, kita perlu menerima hakikat bahawa tahap kita adalah tidak terlalu tinggi, namun apa yang lebih penting, saya mahu mereka komited dan menampilkan prestasi yang baik.

“Sudah semestinya saya mahu melihat komitmen mereka dalam usaha mencapai penghargaan kepada negara.

“Dan, sudah tentu untuk memenangi seberapa banyak pingat emas,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");