Berita Hari Ini

Karavan Tani mampu perangi orang tengah

KOTA BHARU – Kaedah penjualan hasil pertanian menggunakan konsep Karavan Tani dilihat mampu menangani kegiatan tamak orang tengah yang menindas pengguna dan pembekal.

Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Shukur Idris berkata kaedah menggunakan van yang beroperasi sebagai ‘kedai’ dilihat lebih efektif untuk memasarkan produk pertanian secara terus kepada pelanggan.

“Sehingga kini terdapat 152 peserta Fama termasuk tujuh dari Kelantan yang menggunakan kaedah jualan ini sejak ia mula diperkenalkan pada 2008.

“Kami syorkan lebih ramai peserta mengambil peluang ini bagi mencapai sasaran 1,000 peserta Karavan Tani menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Keusahawanan dan Pembekalan Produk Peserta Cawangan Peruncitan Negeri Kelantan di sini.

Beliau berkata, Fama akan bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi mempermudah pinjaman kepada petani dengan nilai pinjaman sehingga RM100,000.

“Kami anggarkan sebuah van berharga kira-kira RM65,000 dan baki daripada pinjaman itu bolehlah digunakan sebagai modal pusingan.

“FAMA akan menukar imej luaran dan dalaman van peserta mengikut produk yang dijual. Ini akan membina keyakinan pembeli untuk mendapatkan barangan daripada van peserta,” kata Shukur.

Katanya, kaedah berkenaan akan memudahkan peserta untuk berniaga di ribuan tapak perumahan di seluruh negara selain kemudahan tapak pasar tani yang disediakan FAMA sebelum ini.

“Malah peserta yang terlibat sebelum ini mampu menjana pendapatan sehingga hampir RM1,000 sehari melalui tiga waktu jualan iaitu pagi, petang dan malam,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menandatangani perjanjian jual beli Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasar Tani, Outlet-Outlet Peruncitan Fama dan Pasaran (KUKUH) disaksikan kira-kira 100 usahawan peruncitan negeri Kelantan.

Shukur turut menyerahkan lapan buah motosikal tiga roda kepada lapan peserta Fama di negeri itu.

Sementara itu, penerima motosikal tiga roda Siti Hatijah Jusoh, 59, berkata beliau amat gembira dan merasa bertuah kerana terpilih sebagai penerima.

“Dengan adanya motosikal ini akan menyenangkan kerja-kerja saya mengangkut sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan. Ia juga akan memudahkan kerja sambilan saya sebagai tukang mesin rumput,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");