Berita Hari Ini

Bekas guru Kafa dipecat boleh rayu

SHAH ALAM – Bekas guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) Selangor, Ekhsan Bukharee Badrul Hisham, boleh mengemukakan rayuan berhubung penamatan perkhidmatannya, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata, ini berikutan jabatan itu tidak mengeluarkan sebarang arahan yang melarang Ekhsan Bukharee untuk membuat rayuan.

“Dia boleh merayu sekiranya dia mahu membuat rayuan, itu terpulang pada hak masing-masing.

“Dalam surat penamatan perkhidmatan yang dikeluarkan kepadanya tiada langsung disebut bahawa dia tidak boleh merayu … kalau dia merayu dia boleh menulis kepada kita dan kita akan proses surat rayuannya seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan talian ‘Hotline’ 24 jam Jais dan Majlis Tauliah Penguat Kuasa Agama di sini, hari ini.

Haris berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ekhsan Bukharee yang membidas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi Sabtu lepas, bahawa kerajaan negeri membuka ruang kepada guru agama itu untuk membuat rayuan.

Semalam, Ekhsan Bukharee dilaporkan berkata beliau tidak mendapat sebarang surat rasmi berkenaan permohonan rayuan tersebut dan tegasnya rayuan hanya akan dibuat sekiranya perkara tersebut diberitahu secara rasmi dan bukan melalui kenyataan media semata-mata.

Guru agama sambilan itu sebelum ini mempertikai tindakan Jais yang didakwa memecatnya berikutan beliau mendesak kenaikan elaun daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan bagi kumpulan pendidik berkenaan.

Ekhsan Bukharee menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Jais yang bertarikh 14 Mei 2015 dan arahan itu berkuatkuasa 1 Jun ini.

“Saya juga menegaskan Ekhsan Bukharee tidak ditamatkan perkhidmatan kerana mendesak kenaikan elaun guru Kafa tetapi kerana dia membuat pernyataan awam mengenai isu elaun kepada media.

“Jika ada masalah dia patut bertemu saya untuk selesaikan masalah, dia juga tidak mewakili persatuan guru Kafa negeri dalam isu ini. Desakan (kenaikan elaun) itu adalah atas tindakan peribadi,” kata Haris. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");