Jenayah

Bekas pelari pecut menang kes saman doktor

GEORGETOWN – Seorang bekas pelari pecut Pulau Pinang hanya mampu menitiskan air mata, semalam selepas memenangi kes saman terhadap seorang pakar ortopedik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang didakwa cuai ketika melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada 2005.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Nor Azleen Mohammad Mustafa, 26, terhadap Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Omar Md Isa selaku defendan dan memerintahkan ganti rugi RM639,818.75 dibayar kepada plaintif.

Azmi ketika membuat keputusan itu memerintahkan defendan membayar ganti rugi am dari tarikh writ difailkan dan faedah bagi ganti rugi khas dari tarikh pembedahan.

Dalam mahkamah, Nor Azleen memberitahu beliau mengalami trauma psikologi dan emosi apabila mengetahui akibat kecuaian dalam pembedahan berkenaan, beliau kehilangan peluang menjadi atlet

Menurutnya, dia trauma akibat lumpuh dan berdepan kesakitan yang menyebabkan dia menjadi lemah kawalan di bahagian tempat membuang air kecil dan usus.

“Akibat kecuaian ini, saya tidak dapat berdiri atau duduk untuk jangka masa lama dan perlu jalani rawatan fisioterapi bagi jangka masa panjang selain tiada prospek pekerjaan dan perkahwinan,” katanya.

Ibunya, Zainab Hashim berkata, berapa pun jumlah pampasan diberikan tidak bermakna dengan hilang upaya anaknya akibat pembedahan tulang belakang.

Menurutnya, walaupun jumlah pampasan dimenangi adalah sebahagian kecil dari jumlah pampasan difailkan, tetapi dia bersyukur apabila memikirkan wang itu akan membantu masa depan anaknya.

“Saya sudah berusia 57 tahun, apa yang akan berlaku kepadanya ketika kehilangan bapa dan saya pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, dalam penghujahan, Nor Azleen yang diwakili N Ahilan berkata, pembedahan yang dilakukan ke atas anak guamnya telah membawa kerosakan saraf sehingga menyebabkan anak guamnya lumpuh dari pinggang ke bawah.

PPUM diwakili oleh G K Ganesan dan N Sharmini.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");