Membawang Hari Ini

Belum tetap tarikh kahwin

Ketika segelintir artis lebih selesa memilih untuk berteka-teki mengenai sang kekasih hati, tidak pula bagi pelakon jelita Anzalna Nasir, 27, yang tidak pernah merahsiakan hubungan cintanya.

Sudah beberapa tahun menjalin cinta dengan kekasih hati, Hanif Zaki, ternyata pasangan sejoli ini memiliki perancangan masa depan mereka. Anzalna atau nama sebenar, Nur Anzalna Md Nasir tanpa berselindung mengakui impiannya kini untuk berkahwin.

Anzalna berkata, mereka memang dalam perancangan untuk berkahwin, tetapi belum ditetapkan tarikhnya kerana Anzalna kini sibuk dengan penggambaran drama 148 episod, Memori Cinta Suraya terbitan Global Station Sdn Bhd.

“Perancangan untuk perkahwinan itu memang ada. Namun, sebelum berkahwin saya lebih dulu harus menyiapkan projek drama Memori Cinta Suraya yang dibintangi.

“Buat masa sekarang pun, penggambaran drama ini baru siap 60 episod dan saya perlu memberi tumpuan dan komitmen hingga penggambaran selesai.

“Saya pun memang sudah bersedia untuk berkahwin. Apatah lagi, saya berasakan kini semua yang pernah saya impikan nampaknya sudah menjadi kenyataan. Cuma, yang masih tinggal impian untuk berkahwin,” katanya yang berkongsi gambar percutiaannya di Eropah.

Menurut Anzalna, kekasihnya juga seorang yang sangat memahami dan sentiasa ada di sisi setiap masa memberikan sokongan.

Katanya, Hanif juga tidak menghalangnya untuk terus berlakon selepas berumah tangga.

“Saya akan terus berlakon walaupun sudah berumah tangga nanti kerana Hanif begitu memahami dan dia takkan menghalang. Dia akan selalu menyokong saya.

“Sikap Hanif cukup membuat saya selesa bersamanya. Bagaimanapun, sekarang saya perlu tumpukan pada kerja dan menyiapkan penggambaran dulu hingga selesai. Selepas itu, bolehlah fikir soal kahwin,” katanya yang juga aktif mengusahakan perniagaan online busana wanita, DANZ Design by Anzalna sejak empat bulan lalu.

Anzalna yang tidak pernah berdolak-dalik dan menyembunyikan kisah cintanya wajar diberi pujian kerana dia bijak menjaga diri daripada terpalit cerita sensasi. Percintaannya juga tidak pernah dihambat kontroversi.

Serasi dengan Hisyam Hamid

Melakonkan watak utama dalam drama terbabit bukanlah asing bagi Anzalna kerana dia salah seorang pelakon residen di bawah produksi itu.

Terdahulu, Anzalna pernah membintangi drama adaptasi novel, Adam & Hawa, Jauh Dari Cinta dan Suria Di Cordoba terbitan Global Station yang membantu melonjakkan nama dan popularitinya.

Berbicara mengenai drama Memori Cinta Suraya arahan Feroz Abdul Kader, Anzalna berkata, ia gandingan kali pertamanya dengan pelakon Singapura, Hisyam Hamid, 30.

Menganggap Hisyam seorang yang cukup profesional dalam kerja, Anzalna berkata, pada mulanya dia bimbang juga apabila mengetahui akan bergandingan bersama pelakon itu.

Katanya, status Hisyam yang sudah berkahwin dan berkeluarga itu membuatkan dia begitu berhati-hati kerana tidak mahu lagi terpalit cerita sensasi.

“Bagaimanapun, selepas kami bekerjasama hinggalah sekarang nampaknya semua okey dan lancar.

“Saya juga bersyukur tiada terpalit cerita sensasi membabitkan kami kerana Hisyam seorang yang profesional dan mudah berbincang. Selain itu, isterinya juga memahami dan kami tiada masalah.

“Apapun, saya bernasib baik kerana mendapat gandingan pelakon yang profesional dalam urusan kerja seperti Hisyam. Meskipun pertama kali berlakon bersama, kami boleh mewujudkan keserasian,” katanya.

Yakin Memori Cinta Suraya diminati ramai

Ditanya apa yang menyebabkan Anzalna tertarik membintangi Memori Cinta Suraya, katanya, drama itu juga menjadi karya sulung terbitan tempatan yang akan ditayangkan ke pasaran antarabangsa.

“Drama Memori Cinta Suraya ini adalah adaptasi siri telenovela Latin popular, Siempre Tuya Acapulco terbitan Azteca TV yang saya yakin memiliki ramai kelompok peminatnya. Saya pun sudah menontonnya.

“Garapan olahan jalan ceritanya sangat menarik dan saya percaya penonton akan terhibur dan tidak bosan menonton. Ditambah, penonton pastinya tidak sabar menunggu untuk menonton episod seterusnya.

“Saya sendiri sangat tertarik menonton telenovela itu dan gembira mendapat peluang membintanginya dalam adaptasi drama Melayu. Bahkan, pilihan barisan pelakon untuk drama ini juga boleh dikatakan mantap,” katanya.

Selain Anzalna dan Hisyam, barisan pelakon popular lain yang membintangi drama itu ialah Afiq Muiz, Lufya, Iqram Dinzly, Marissa Yasmin, Arash Mohd, Dayana Roza dan ramai lagi.

Mengulas mengenai keselesaannya berlakon dalam siri drama rantaian yang panjang, Anzalna berkata, dia menyukainya kerana sudah ada kerja sepanjang tahun dan hanya fokus kepada satu drama saja.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");