Berita Hari Ini

Berhenti label pelarian Rohingya sebagai penjenayah – Tenaganita

KUALA LUMPUR, 24 Mei:

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam isu-isu berkaitan dengan pelarian Rohingya menggesa kerajaan memberikan bantuan kepada mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam usaha mendapatkan suaka pelarian dan pada masa yang sama menyambut baik langkah kemanusiaan yang diambil kerajaan.

Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez berkata walaupun perdamaian dan perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Myanmar telah dibuat, pemimpin-pemimpin negara dan rakyat juga perlu mencari cara yang boleh membantu pelarian untuk menjalani kehidupan yang lebih baik sepanjang berada di sini.

“Langkah-langkah yang telah kita ambil adalah baik kerana ia menunjukkan kepada dunia bahawa kita sedang bergerak ke arah menjadi negara yang lebih progresif.

“Tetapi marilah kita bekerjasama dan memahami bahawa pelarian ini tidak berada di sini untuk suka-suka. Mereka berada di sini kerana melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan.”

Beliau berkata antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah berhenti melabelkan kumpulan itu sebagai penjenyah dan membantu mereka sebagai pencari suaka.

“Jika kita boleh benarkan mereka tinggal di sini dan memberi permit kerja, maka mereka boleh mendapatkan pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga mereka. Ini penting kerana kebanyakan pelarian ini adalah wanita dan kanak-kanak.

“Malaysia sebagai pengerusi ASEAN boleh menjadi contoh dan jika dunia melihat ini, saya yakin bantuan masyarakat antarabangsa akan mula mencurah masuk juga.”

Presiden Hak Asasi Manusia Pertubuhan Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani juga menyeru perkara yang sama dengan mengatakan bahawa perbuatan baik yang mudah sudah cukup memberi peluang kepada pelarian untuk menjaga diri mereka sendiri selain memberi mereka harapan dan peluang untuk kebahagiaan sementara.

“Pada masa ini mereka tidak boleh bekerja, pada masa yang sama mereka tidak menerima sebarang bantuan kewangan, jadi mereka menghadapi masalah yang begitu banyak dalam usaha untuk menyediakan makanan untuk keluarga mereka.

“Sebahagian daripada mereka bekerja secara haram tetapi sering ditahan ketika dalam perjalanan pergi atau balik dari kerja.

“Langkah Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Razak) baru-baru ini, meletakkan etnik Rohingya yang terkandas di tengah-tengah laut sebagai pelarian adalah satu usaha yang kami syukuri kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan sendiri telah mula menyedari bahawa pelarian ini tidak datang ke Malaysia hanya untuk mencari kekayaan, tetapi mahu menyelamatkan diri mereka dan orang yang mereka sayang.

“Apabila nyawa hilang, ia tidak boleh diganti,” katanya ketika ditemui oleh The Rakyat Post.

Lebih daripada seribu etnik Rohingya yang dikatakan hanyut di laut telah mendarat di Langkawi bulan ini.

Najib baru-baru ini mengumumkan bahawa pasukan Malaysia akan dihantar untuk menyelamatkan kumpulan yang terkandas di tengah perairan Malaysia.

Turut dilaporkan sebelum ini bahawa, Malaysia dan Indonesia akan menyediakan tempat tinggal sementara kepada mereka, malah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata bantuan itu adalah berdasarkan ‘proviso’ masyarakat antarabangsa yang bersetuju untuk membawa mereka masuk atau mereka perlu dihantar pulang ke negara asal mereka dalam tempoh satu tahun.

-therakyatpost.com/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");