Membawang Hari Ini

Berlakon terapi ubat duka

Walaupun baru dikecewakan cinta, Dayana Roza tetap cekal mengorak langkah dalam kehidupan seharian dan juga kerjaya. Kini dia semakin laris dan menjadi perhatian.

Jadual kerja yang padat dengan tawaran berlakon tidak putus menjadi terapi Dayana untuk melupakan segala luka akibat putus cinta yang dilaluinya Februari lalu.

Ditemui pada majlis perlantikan dirinya sebagai duta produk kesihatan Oli Candy di ibu kota, kelmarin, pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin, 24, berkata dia belum bersedia untuk menjalin cinta baru.

Ujar anak tunggal dalam keluarga, dia mahu memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonannya yang semakin mendapat perhatian.

“Sekarang fokus saya hanya pada karier lakonan memandangkan tawaran pun tak putus diterima. Bahkan, jika tiada aral saya akan menjalani penggambaran drama 30 episod untuk saluran Hypp TV di Australia tidak lama lagi. Saya akan berangkat ke luar negara pada Ramadan nanti.

“Selain itu, satu filem lakonan saya, Kahwin Kontrak terbitan Grand Briliance (GB) akan menemui penonton di pawagam tidak lama lagi membuatkan jadual saya cukup padat dan syukur dengan rezeki diperolehi,” katanya.

Berbicara mengenai peribadinya, Dayana me­ngakui dia tidak pernah serik bercinta. Cuma, buat masa ini hatinya masih belum terbuka untuk mencari pengganti dan bertemu dengan cinta baru.

“Segala kesedihan dan kekecewaan saya pada percintaan lalu yang terputus di tengah jalan saya terima dengan reda dan hati terbuka. Saya mengganggap kami tiada jodoh.

“Lagipun, soal jodoh ketentuan Allah SWT. Sekarang, apa yang perlu saya fokus adalah meneruskan kehidupan kerana karier pun semakin berkembang baik. Jadi, tiada apa yang perlu ditangiskan lagi.

“Rezeki saya juga semakin murah. Sepanjang Ramadan dan Syawal nanti saya akan muncul dalam drama serta telefilem istimewa seperti Syurga Nur untuk slot Akasia, diikuti Kias Ramadan dan Punjut Untuk Mentua,” katanya.

Mengulas kriteria lelaki pilihannya, Dayana berkata dia hanya wanita biasa. Katanya dalam percintaan dia tidak meletakkan banyak kriteria dan syarat. Ujar Dayana, cukuplah lelaki itu orangnya jujur, setia, bersyukur dan sentiasa sedar diri.

Mengakui dia juga lebih bersikap berhati-hati dalam percintaan akan datang, Dayana berkata, dia enggan terluka lagi dan disebabkan itu wajar untuk dia berhati-hati membuat pilihan.

Dayana yang melonjak namanya selepas membintangi drama adaptasi novel Asam Pedas Untuk Dia di TV3 baru-baru ini berkata, selepas lima tahun aktif dalam lakonan, baru kini menampakkan hasil positif.

Memaklumkan dia tidak menyangka impak lakonannya dalam drama itu cukup besar kepada penonton, Dayana berkata, dia akan terus memberi yang terbaik dalam hasil kerja seninya buat peminat.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");