Sukan Hari Ini

‘Biar dia lepas geram’

Kuala Lumpur: Kalau mahukan keputusan bagus lebih baik hantar Datuk Lee Chong Wei ke Kejohanan Dunia, ia pandangan yang dilontarkan bekas pemain perseorangan utama negara, Roslin Hashim.

Menurutnya, jika berdasarkan ranking memang Chong Wei berada di bawah Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus menimbang untuk memberi satu slot kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Kita perlu lihat kembali pada slot yang ditawarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu hanya dua perseorangan lelaki terbaik Malaysia saja beraksi di kejohanan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, BAM sepatutnya memberi peluang kepada Chong Wei walaupun sekarang ini berada di ranking 45 dunia iaitu pemain ketiga terbaik negara di belakang Wei Feng (31) dan Zulfadli (41).

“Wei Feng dan Zulfadli perlu bersaing sesama sendiri untuk mengisi satu lagi slot. Pemilihan mereka perlu bersandarkan kepada prestasi semasa untuk mengiringi Chong Wei ke kejohanan itu.

“Bagaimanapun, saya rasa BAM akan membuka peluang kepada Wei Feng, bukan sebab dia pemain yang berada di bawah badan induk itu tapi kedudukan ranking lebih baik berbanding Zulfadli,” katanya.

Roslin berkata, Zulfadli hanya akan terpilih jika ranking pemain bebas itu mengatasi Wei Feng tetapi secara realitinya kedua-dua pemain tidak mampu untuk memberikan keputusan yang bagus pada kejohanan itu.

Ditanya sama ada Chong Wei akan beraksi cemerlang pada Kejohanan Dunia di Jakarta jika diberi peluang beraksi, Roslin menegaskan ia terpulang kepada pemain itu sendiri.

“Susah untuk meramalkan prestasinya pada kejohanan itu nanti tapi kita lihat penampilan pertamanya di Piala Sudirman di Dongguan selepas tamat penggantungan kelmarin.

“Dia memang geram untuk beraksi, selepas tujuh bulan tidak beraksi pada mana-mana kejohanan. Jika dia mempunyai sifat geram, saya percaya prestasinya nanti luar biasa,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1998 Bangkok itu.

BWF sudah mengeluarkan senarai pemain yang secara automatik beraksi pada Kejohanan Dunia Jakarta (10 hingga 16 Ogos) untuk fasa pertama kelmarin dengan Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli layak secara merit untuk bermain di kejohanan berkenaan, manakala Chong Wei berada di kedudukan senarai menunggu (simpanan).

Chong Wei hanya pernah muncul naib juara pada Kejohanan Dunia 2011 dan 2013, manakala pencapaiannya tahun lalu juga sebagai naib juara tidak dikira apabila didapati positif ujian doping menggunakan bahan terlarang dexamethasone. – http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");