Sukan Hari Ini

Chelsea sah juara

LONDON – Chelsea akhirnya berjaya me­namatkan penantian lima tahun tanpa gelaran Liga Perdana Inggeris apabila mengesahkan kejuaraan musim ini menjadi milik mereka selepas menewaskan Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge semalam.

Kemenangan Chelsea itu membolehkan Blues selesa di tangga teratas liga dengan 83 mata dan tidak mampu dipintas lagi oleh pencabar terdekatnya walaupun kempen musim ini masih berbaki tiga perlawanan.

Gol kemenangan Chelsea hadir menerusi tandukan Eden Hazard pada minit ke-45 yang membuat susulan ke atas sepakan penaltinya yang ditampan oleh penjaga gol Crystal Palace, Julian Speroni.

Ini adalah kejuaraan liga ketiga untuk Mourinho bersama Chelsea dan juga kejuaraan pertamanya sejak kembali menyertai Blues pada 2013.

Kejayaan ini juga memberikan pengurus dari Portugal itu trofi ke­dua musim ini setelah mereka muncul juara Piala Liga dengan menewaskan Tottenham Hotspurs 2-0 dalam perlawanan akhir pada 1 Mac lalu.

Kapten Chelsea, John Terry berkata, kejayaan kali ini amat bermakna buat dirinya dan pasukan yang telah bekerja keras sepanjang musim ini.

“Berjaya meraih kejayaan atas kerja keras adalah sesuatu yang amat memuaskan kepada pasukan ini dan terima kasih kepada Eden (Hazard) kerana jaringannya membolehkan kami meraih kemenangan.

“Ada orang pernah berkata bahawa saya tidak boleh bermain dua kali dalam seminggu dan hari ini (semalam) saya telah membuktikan bahawa itu silap.

Kami mempunyai pemain yang hebat dan pengurus yang menakjubkan. “Kami telah menunggu lima tahun dan akhirnya berjaya meraih kembali kejuaraan liga dan perasaan kami ketika ini sukar untuk digambarkan,” katanya.

Hazard pula berkata, mereka memang berhak untuk menjuarai liga musim ini dan kejayaan tersebut telah menggembirakan semua penyokong Blues.

“Pengurus pasukan telah memberikan saya kegembiraan yang sukar digambarkan selain telah memberikan saya peluang bermain pada tahap terbaik bersama Chelsea.

“Saya sedar pasukan memerlukan pemain seperti saya dan keha­diran saya di sini adalah untuk menjaringkan gol, semua pemain juga telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaiknya,” kata Hazard. ?– AGENSI – http://www.utusan.com.my/sukan/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");