Membawang Hari Ini

Datuk Aznil Nawawi selebriti versatil

MENGIMBAU kembali setiap pencapaian yang diraih jelas membuktikan dirinya umpama bintang berharga. Jika disoal siapakah personaliti televisyen yang paling diingati, pastinya nama Datuk Aznil Nawawi tidak tercicir dari senarai.

Dilihat seorang yang komited terhadap tugasan yang digalas, dia kini berjaya meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri.

Tambahan pula, dia bukan hanya terlibat bidang pengacaraan malah berbakat dalam nyanyian dan lakonan menjadikan Aznil seorang selebriti versatil.

Lebih istimewa, karakter ceria dan petah yang dimiliki anak jati Kuala Lumpur ini membuatkan dia senang diterima peminat sama ada dari golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

Apa yang pasti, biarpun usianya kini menjangkau 53 tahun, namun atas dasar minat, pengacara yang mesra disapa Pak Nil ini tidak menjadikan perkara itu sebagai satu halangan dirinya terus menyumbang.

“Alhamdulillah, tahun ini usia saya sudah 53 tahun. Walaupun usia bertambah, namun saya masih lagi mampu bertahan menjalani karier seperti biasa.

“Kalau boleh saya mahu memberi istilah baharu terhadap usia tua di mana usia bukan penghalang untuk kita terus menjadi aset dan penyumbang.

“Biasanya orang akan memberi tanggapan, bila tua perlu berehat dan banyakkan ke masjid, tapi kenapa perlu tunggu tua baru mahu ke masjid sedangkan itu amal yang perlu diterapkan sejak muda lagi.

“Dalam keadaan saya sekarang istilah rehat itu lebih kepada memperlahankan sedikit karier, tapi bukan bermakna terus berhenti,” ujarnya ketika ditemui pada
majlis meraikan Pencapaian 1 Juta Pelanggan NJOI, di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Menyedari tugas yang digalas mampu memberikan manfaat kepada banyak pihak, Pak Nil komited untuk terus menjalani kariernya. “Kerja saya adalah kerja yang dinamik di mana setiap hari ada sahaja perkara baharu yang perlu dipelajari.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya diberi peluang ke Los Angeles dan berpeluang bertemu dengan pengurusan rancangan E!. “Di sana banyak perkara yang saya belajar dan saya mahu mengambil inisiatif itu untuk bersama dengan pihak-pihak tertentu untuk mengembangkan lagi industri hiburan tempatan,” ujarnya.

Wajah eksklusif Sepanjang 25 tahun menjalani karier, Pak Nil juga telah diangkat dalam beberapa anugerah menerusi majlis penghargaan.

Selain itu juga dia telah dilantik sebagai Wajah Eksklusif stesen televisyen Astro sejak 10 tahun lalu.

“Percaya atau tidak, tempoh kontrak itu berada di penghujungnya tahun ini. Insya-ALLAH, saya akan berbincang dengan pihak Astro untuk mengemas kini kontrak tersebut.

“Sama ada terus kekal atau tidak itu semua masih dalam perbincangan lagi,” ujarnya. Bangga dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya, Pak Nil akui mahu terus menyumbang kepada Astro.

“Selama 10 tahun ini, saya bangga melihat perkembangan Astro yang hanya mempunyai satu saluran Astro Ria sebagai permulaan, tapi dengan kehadiran saya dan beberapa artis eksklusif lain akhirnya Astro berkembang.

“Selain dilantik sebagai wajah eksklusif, saya juga diamanahkan penasihat rancangan Astro dan untuk tugas ini saya masih mahu meneruskan perkhidmatan
saya,” katanya.

RAHSIA AWET MUDA

Pada usia 35 tahun, Pak Nil masih lagi dilihat sebagai seorang yang cergas dan ceria dalam menjalani tugasnya.

Berkongsi mengenai perkara itu, hos program Hlive ini mengakui.

“Alhamdulillah, kesihatan saya sehingga hari ini masih lagi dalam keadaan baik.

“Kalau ditanya rahsianya, selain berlari di atas ‘treadmill’ sejauh tiga kilometer setiap hari, saya juga amalkan puasa sunat.

“Bagi saya, berpuasa banyak membantu saya untuk mengawal pemakanan. Hanya itu yang saya amalkan untuk mengekalkan stamina,” jelasnya yang akui tidak pernah mengambil sebarang suplemen atau vitamin.

Pada masa sama, Pak Nil akui selain penjagaan makanan dan senaman, sentiasa berfikiran positif juga membantunya untuk kekal awet muda.

“Kehidupan saya sekarang agak positif dan saya tidak pernah melibat sesuatu yang berlaku sebagai perkara negatif walaupun saya akui mungkin zaman muda saya seorang yang agak panas baran, tapi sifat itu mula berkurang bila meningkat usia.

“Mungkin cara ini membantu saya untuk kekal bersemangat dalam apa yang saya lakukan,” kongsinya.

Selfie bersama Krisdayanti

Beralih pada perkembangan terbaharunya, Pak Nil memberitahu, selain mengendalikan program Hlive, dia juga sibuk dengan beberapa projek khas untuk sambutan Aidilfitri akan datang.

“Kebelakangan ini saya sibuk dengan beberapa program hari raya dan paling istimewa adalah program Selfie Raya Pak Nil Bersama Krisdayanti.

“Untuk program ini, saya telah bertemu dengannya dan sempat berkenalan dengan seluruh keluarganya.

“Paling istimewa, saya sendiri telah melawat rumah mewahnya yang saya pasti bakal membuat penonton teruja,” katanya yang bakal bertugas secara langsung malam hari raya nanti.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");