Jenayah

‘Dia mahu pergi jauh meninggalkan kami’

KOTA BHARU – “Saya tak sangka, ungkapannya untuk pergi jauh dan meninggalkan kami, petanda dia pergi tak kembali,” kata Zainun Raksoh, 47, ibu mangsa yang rentung dalam kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) II Ajil- Bukit Besi, Ahad lalu, Allahyarham Dayang Suhana Mohd Nawi, 22.

Zainun berkata, anak kedua daripada enam beradik itu pernah menyuarakan hasrat keluar dari rumah berkenaan dan pergi jauh daripada keluarga kerana mahu hidup berdikari.

Menurutnya, arwah pernah berbincang dengannya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan mencari pekerjaan kerana ingin hidup sendiri bersama suami dan anaknya, Nur Damia Indina Rosailan, 10 bulan.

“Arwah pernah nyatakan hasratnya dan bertanya sama ada saya boleh pinjamkan dahulu wang perbelanjaan bagi menampung kehidupan mereka anak beranak sebelum memperoleh pendapatan apabila berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Saya katakan saya bersedia membantu dan merestui hasratnya demi kebaikan mereka sekeluarga,” katanya selepas menerima kunjungan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Ketereh di rumahnya di Kampung Talang, Kadok di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zainun berkata, yang membuatkannya terkilan ialah arwah sehingga saat akhir terus mempersoalkan tindakannya tidak memaklumkan kematian datuknya, Raksoh Awang, lima tahun lalu.

“Memang saya juga terkilan, saya akui silap kerana tidak memaklumkan pemergian datuknya, ketika itu dia tidak ada di rumah kerana mengikuti rombongan ke Kuala Terengganu. Saya tidak sempat menunggu dia pulang dan sehingga minggu lalu, dia terus mempersoalkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu dalam kunjungan hampir setengah jam itu, Md Alwi turut menyampaikan bantuan wang ehsan berjumlah RM1,000 buat keluarga Allahyarham Dayang Suhana.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");