TAPAH – Keengganan dua pelajar junior sebuah sekolah menengah di Sungkai untuk pulang semula ke asrama membongkar rahsia bahawa mereka trauma akibat dibuli sekumpulan pelajar senior dalam dua kejadian berasingan, di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, selepas menyedari dua pelajar itu menjadi mangsa buli, ibu bapa mereka membuat laporan di Balai Polis Sungkai pada 24 Mei lalu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa dipukul di bahagian badan oleh beberapa pelajar senior.
“Dalam kejadian pertama Mac lalu, enam pelajar senior memukul dada kedua-dua pelajar tersebut selain mengugut mereka jika melaporkan perbuatanitu kepada guru.
“Kejadian kedua pula berlaku pada 21 Mei lalu apabila kedua-dua mangsa dipukul di beberapa anggota badan oleh dua pelajar tingkatan enam dan empat pelajar tingkatan lima,” katanya ketika ditemui pada program komuniti kepolisian, gotong-royong membersihkan kubur dan tahlil untuk Allahyarham Asisten Superintendan Mohd Zabri Abd Hamid, di sini, semalam.
Som Sak berkata, setakat ini, perjumpaan antara kedua-dua pihak keluarga pelajar senior dan junior sudah diadakan bagi menjelaskan apa yang terjadi.
“Enam pelajar senior sekolah berkenaan juga digantung sekolah oleh pihak pengurusan dan ibu bapa mangsa turut meminta pihak polis meneruskan siasatan terhadap pelajar yang membuli anak mereka.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
-Sinar Harian