Jenayah

Dua pemandu lori ditahan

KUANTAN – Dua pemandu lori yang memiliki waran tangkap dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik Kuantan selepas ditahan kira-kira jam 10 pagi kelmarin dalam pemeriksaan polis sempena Ops Warta di sekitar Sungai Ular dekat sini.

Mokhtar Mohd Yusof, 44, dari Felda Bukit Goh dan B Mohanakrisnan, 29, dari Seremban, Negeri Sembilan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengambil kira faktor kesalahan, pengakuan bersalah dan rayuan kedua-dua pemandu lori itu, Tuan Ruzuaini memerintahkan mereka membayar denda RM300 bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nik Azwan Sidi Ahmad, Mokhtar didakwa atas tuduhan menggunakan telefon bimbit semasa memandu lori di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman dekat sini kira-kira jam 2.45 petang 4 Ogos 2011.

Perbuatannya itu adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 17A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan dibacakan bersama Seksyen 128(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Bagi kesalahan itu, dia sepatutnya hadir ke mahkamah pada 6 September 2011 namun gagal berbuat demikian sehingga waran tangkap dikeluarkan.

Dalam rayuannya, Mokhtar memohon agar hukuman dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan anggaran pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain terpaksa menyara empat anak dan isteri tidak bekerja.

Sementara itu, B Mohanakrisnan yang turut ditahan dalam Ops Warta di lokasi sama berdepan dua pertuduhan, bagaimanapun dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dikemukakan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati memandu lori dengan lesen memandu tamat tempoh.

Dia dikesan melakukan kesalahan itu ketika memandu lori di Jalan Kuantan–Sungai Lembing kira-kira jam 7.20 pagi, 2 Januari 2014.

Manakala bagi pertuduhan sama, dia didakwa memandu lori dengan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan melakukan kesalahan di bawah Kaedah 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan lokasi sama dengan pertuduhan pertama.

Dalam rayuannya, dia memohon agar hukuman diringankan memandangkan dia juga sudah berkeluarga dan memiliki empat anak.

Dia yang memandu lori dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan turut menanggung ibu bapa yang sudah tua.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");