Jenayah

Empat sekawan dihukum

AYER KEROH – Kesemua empat sekawan yang memukul seorang lelaki empat tahun lalu dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap keempat-empat mereka iaitu Mohd Ramza Salim, 39; Shahril Nizam Abdollah, 33; Abdul Razak Sha’ari, 29, dan Norizan Abd Rahman, 28, selepas kesemua mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa dengan niat menyebabkan kematian Mohd Fazrinizam Ramli, 27.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Tamban, Taman Merlimau Baru, Jasin pada 18 Disember 2012 yang lalu.

Dalam penghakimannya Zulkifli memberitahu, hukuman yang dijatuhkan terhadap tertuduh adalah berdasarkan fakta kes iaitu rasa tidak puas hati apabila mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri tertuduh Abdul Razak.

“Mangsa telah dibawa ke satu tempat dan telah dipukul sehingga mengalami kecederaan parah di kepala. Kamu semua meletakkan undang-undang di tangan sendiri dan kesemuanya sudah maklum perbuatan kamu (memukul mangsa hingga mati) adalah salah. Dalam pepatah Melayu ada menyebut ikut hati mati, ikut rasa binasa,” kata Zulkifli.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhasmiza Othman yang mewakili pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap kesemua tertuduh.

Pada 19 Disember 2012 lalu, seorang lelaki yang dihantar untuk mendapatkan rawatan ke sebuah poliklinik di Taman Debunga, Merlimau, akibat kecederaan di mulut dan kepala, didapati meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke Hospital Melaka.

Dalam kejadian pada jam 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 25 tahun itu dikatakan masih hidup ketika dihantar dua lelaki ke premis tersebut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan R Gunarajan berkata, mangsa dihantar dua lelaki dengan kereta Perodua MyVi berwarna kelabu dan sebaik tiba, kakitangan klinik terus menghubungi ambulans untuk menghantar lelaki itu ke Hospital Melaka yang terletak sejauh 20 kilometer namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia di situ.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");