Membawang Hari Ini

Filem paling mencabar Osman Ali

NAMA pengarah hebat ini lebih sinonim dengan karya-karya adaptasi apabila kebanyakan hasil sentuhannya adalah berpandukan novel-novel popular di pasaran.

Namun, dalam keasyikan menghasilkan karya di layar perak, Osman Ali mengakui bahawa kreativitinya dalam melahirkan idea dan jalan cerita agak terbantut sekiranya terus terikat dengan karya novel.

Setelah memikirkan perkara itu, pengarah filem box office, Ombak Rindu ini tampil membuat transformasi dengan cara berbeza malah, ianya adalah konsep pertama yang digunakan di dalam industri perfileman tempatan.

Kebiasaannya karya-karya adaptasi adalah berdasarkan novel dan diangkat ke layar, namun menerusi filem, Langit Cinta, Osman memilih untuk menghasilkan karya terlebih dahulu, sebelum diadaptasi ke bentuk novel.

“Sebelum ini, saya banyak terlibat dalam karya adaptasi. Namun saya terfikir, bila pula saya perlu menghasilkan idea sendiri untuk penonton dalam berkarya? Jadi, saya cuba memberi cadangan itu kepada penerbit.

“Alhamdulillah, mereka bersetuju dengan cadangan saya dan saya memilih novelis hebat, Damya Hanna, sebagai penulisnya kerana saya selesa bekerjasama dengannya sebelum ini menerusi, Bicara Hati.

“Saya memilih cara ini dalam usaha menarik minat penonton kerana apabila ianya dihasilkan dalam dua medium yang berbeza, sudah tentunya ia memberi manfaat kepada dua-dua pihak. Cerita ini akan diperkenalkan dalam bentuk novel terlebih dahulu, barulah filem akan menyusul selepas itu,” katanya yang turut memberi kebebasan kepada novelis untuk menggarap cerita.

Tambah Osman, setelah meneliti sebahagian hasil manuskrip yang diolah Damya Hanna, dia amat berpuas hati dengan jalan cerita yang digarap walaupun ianya tidak digambarkan secara 100 peratus.

“Sekiranya saya mengikat Damya untuk menulis novel 100 peratus daripada cerita asal, lebih baik saya ‘tempek’ sahaja skrip asal. Jadi, saya memerlukan novelis seperti dia untuk mengolahnya dengan lebih baik.

“Malah, saya terima sekiranya ada yang berpendapat, novel lebih bagus daripada filem kerana ia adalah dua medium yang berbeza. Namun, di atas penelitian saya, perubahan hanya dilakukan dalam 20 peratus sahaja.

“Saya tidak kisah apa jua babak yang diubah, namun jalan cerita perlu dikekalkan. Asalkan ianya tidak lari dari cerita asal, saya tidak kisah,” katanya lagi.

Kesinambungan Ombak Rindu

Menurut pengarah ini, idea menghasilkan Langit Cinta adalah kerana penghargaan yang diterima daripada peminat Ombak Rindu.

“Sebenarnya, saya ada mencadangkan kepada produksi agar kesinambungan Ombak Rindu dihasilkan setelah melihat kepada penerimaan daripada penonton sebelum ini.

“Namun, atas beberapa faktor, filem itu sukar untuk disambung dan saya perlu menggantikannya dengan karya lain. Namun, ianya perlu diolah daripada kisah cinta yang utuh seperti Ombak Rindu.

“Dari situ, saya menghasilkan Langit Cinta kerana perjalanan cerita dalam filem itu menggambarkan kecekalan seorang wanita dalam menghadapi hari-harinya yang mencabar kerana seorang lelaki yang amat dicintai,” katanya yang mengakui jalan cerita filem ini berkait rapat
dengan kisah yang berlaku dalam kehidupan sekitarnya.

Tambah Osman, pengalaman hidup dibesarkan di kawasan pulau, dia memberitahu ramai dalam kalangan wanita yang dikenali menimpa nasib yang sama seperti digambarkan dalam filem berkenaan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, kehidupan wanita di pulau kebanyakannya seperti itu. Mereka berkahwin dan akhirnya suami meninggalkan mereka serta hilang tanpa berita.

“Di situ, kita akan lihat kecekalan mereka dalam melayari hari-hari tanpa lelaki bergelar suami di sisi. Namun, menerusi filem ini, cabaran yang perlu dilalui apabila watak itu nekad mencari suaminya,” katanya lagi.

Langit Cinta mengisahkan mengenai percintaan antara Alif Zulkarnain (Keith Foo) dengan Khadijah (Fazura). Alif ditugaskan oleh bapanya untuk membangunkan lokasi pelancongan di Pulau Perindu, namun dia terperangkap dalam hubungan cinta dengan anak pulau.

Perkenalan dengan Khadijah membuatkan Alif terpaksa mengingkari amanat bapanya dan nekad membina hidup baharu yang sederhana bersama wanita itu.

Hubungan itu ditentang keluarga sehingga bapanya membuang Alif jauh daripada keluarganya. Alif memilih untuk meninggalkan segala kemewahan di depan mata dan bermulalah pelbagai dugaan dan cabaran demi yang harus ditempuhi.

Namun, kebahagiaan yang dipupuk tidak lama apabila Alif terpaksa pulang ke rumahnya kerana bapanya sakit sehingga terpaksa meninggalkan Khadijah yang sedang hamil.

Pemergian Alif bukan sehari dua, malah Khadijah terpaksa menjadi penunggu setia apabila Alif tidak pulang sehingga memaksa dirinya berusaha mencari suami tercinta.

Cabaran sepanjang penggambaran

Memilih Pulau Tuba di Langkawi sebagai lokasi utama penggambaran, Osman memberitahu ia adalah lokasi yang paling sesuai dan strategik untuk perjalanan cerita.

Katanya, dalam filem itu, dia memaparkan kehidupan seorang wanita pulau yang hidup bersama ibunya di perkampungan nelayan.

“Pulau Tuba itu adalah kawasan perkampungan nelayan yang tenang dan sesuai dengan konsep serta jalan cerita di mana ia memerlukan pulau yang terpencil untuk dibangunkan.

“Selain menyaksikan suasana yang indah, pulau itu juga ada ciri-ciri keaslian dan tarikan yang tersendiri. Hampir 70 peratus penggambaran adalah dilakukan di kawasan itu dan selebihnya di Kundasang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas Osman, proses penggambaran itu dimulakan pada penghujung tahun lalu dan mengambil masa lebih sebulan untuk diselesaikan.

“Jika mengikut jadual penggambaran, produksi menetapkan tempoh 40 hari untuk disiapkan. Namun, atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, ianya terpaksa dipanjangkan sehingga hampir dua bulan.

“Kami berdepan dengan pelbagai cabaran semasa penggambaran antaranya keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut yang kuat sehingga kami dilarang berada di kawasan itu, pelakon muntah-muntah, Fazura mabuk laut dan Keith Foo mengalami bengkak teruk di
bahagian muka sehingga mengambil masa dua tiga hari untuk pulih sepenuhnya.

“Apabila penggambaran ini terpaksa dipanjangkan tempohnya, ada yang menganggap kami bekerja sambil lewa dan gagal dalam pengurusan, namun bagi mereka yang berada di sini sahaja akan faham situasi yang berlaku. Malah, sepanjang saya berada di kerusi
pengarahan, inilah filem yang paling mencabar di sepanjang khidmat saya sebagai pengarah,” katanya lagi.

Malah, katanya, gangguan cuaca dan beberapa faktor lain menyebabkan mereka terpaksa ‘hutang scene’ apabila terpaksa datang semula ke Pulau Tuba untuk melunaskan babak-babak yang belum selesai.

Tambahnya, selain gangguan cuaca dan kesihatan, filem ini turut memakan kos produksi yang tinggi kerana terpaksa menggunakan kapal kargo untuk membawa kren dan lori.

“Kami terpaksa membina sendiri rumah kayu di tepi laut kerana ketiadaan rumah seperti itu di sana. Ianya mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan.

“Selain itu kami turut membina jeti dan jambatan untuk menyokong emosi penonton apabila ‘dihidangkan’ di pawagam,” jelasnya.

Barisan pelakon mantap

Bertanya mengenai komitmen barisan pelakon, pengarah filem Anak Halal dan Puaka Tebing Biru ini mengakui kerjasama daripada mereka amat memuaskan.

Walaupun pada mulanya dia agak skeptikal dengan kebolehan Fazura dalam membawakan watak gadis pulau yang dihimpit kesempitan hidup, namun pelakon itu berjaya meyakinkannya menerusi lakonan dan penghayatan.

“Sejujurnya, saya suka melihat lakonan Fazura dalam Pisau Cukur. Namun, filem ini adalah filem cinta yang sarat dengan emosi dan sama sekali tidak sama dengan filem yang pernah dilakonkannya. Semasa dipertemukan dengan Fazura, saya memberitahunya akan
perkara itu dan dia setuju untuk mencuba sebaik mungkin.

“Namun, sesuatu yang menarik tentang Fazura, dia memiliki aura yang berjaya menarik perhatian saya. Walaupun dia tidak pernah diberikan watak seperti Khadijah, namun persembahan Fazura memuaskan hati saya.

“Begitu juga dengan Farid Kamil malah saya rasa, ini adalah hasil kerjanya yang paling terbaik. Untuk watak Keith Foo pula, saya berpuas hati walaupun dia sebelum ini lebih sinonim dengan lakonan drama tempatan. Siti Saleha, walaupun babaknya tidak banyak, namun
lakonannya amat berkesan,” katanya yang turut mengagumi kehebatan pelakon senior, Fauzia Ahmad Daud yang membantu memantapkan lagi jalan cerita.

Dijangka bakal menemui penonton pada penghujung tahun ini ataupun awal tahun depan, Osman mengharapkan penonton yang menantikan kesinambungan Ombak Rindu akan berpuas hati.

“Sejujurnya, saya meletakkan harapan yang tinggi untuk filem ini kerana ia adalah hasil idea dan tulisan saya. Saya seronok kerana dapat menulis cerita sendiri dan dikongsi dengan penonton setia.

“Walaupun ia kesinambungan kisah cinta seperti Ombak Rindu, namun ‘feel’ ada dalam filem ini memang berbeza. Sama-samalah nantikan filem ini di pawagam tidak lama lagi sebagai sokongan karya tempatan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");