Jenayah

Gangguan api misteri sudah berakhir

SEREMBAN – Tiada lagi gangguan api misteri. Kejadian menyeramkan yang menimpa sebuah kediaman di Taman Permai Fasa 3, di sini, sekitar Februari dan Mac tahun lalu kini sudah reda.

Hal itu disahkan sendiri P Vijayanthi, 36, yang menghuni rumah teres setingkat terbabit bersama suami, tiga anak dan bapa mertua sejak Mei 2014, selepas penyewa terdahulu berpindah ke tempat lain.

“Semenjak tinggal di sini, kami sekeluarga langsung tak berdepan sebarang insiden aneh. Anak-anak pun tak pernah kena kacau atau nampak benda pelik dalam rumah.

“Disebabkan serasi dan selesa dengan rumah ini, kami dah sambung kontrak sewaan untuk setahun lagi,” katanya membuka bicara kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Walaupun mengetahui kisah seram membelenggu rumah berkenaan, Vijayanthi enggan mengendahkannya kerana menaruh keyakinan pada tuhan untuk melindungi dia dan keluarga.

“Sejak mula pindah lagi, penduduk sekitar dah cerita macam-macam. Sampaikan pengawal keselamatan sekolah anak saya di Mambau pun tahu hal ini.

“Apa yang penting, mesti jaga amal ibadat. Dah jadi rutin saya bangun seawal jam 4.30 pagi untuk sembahyang. Sebelum itu, saya akan buka semua tingkap dan pintu kaca,” katanya.

Cuma, ada satu perkara penting diberitahu yang mungkin menjadi petunjuk kepada punca gangguan dialami penghuni terdahulu.

Menurut Vijayanthi, sehari sebelum berpindah masuk ke rumah itu, bapa mertuanya menyedari kewujudan satu ladam kuda besi yang digantung atas birai pintu utama sebagai hiasan.

“Menurut kepercayaan kaum India, objek itu tidak sepatutnya disimpan dalam rumah kerana boleh menarik makhluk halus dan menyebabkan keluarga berpecah belah.

“Bapa mertua saya cepat-cepat tanggalkan dan buang jauh-jauh bagi mengelakkan sebarang kemudaratan,” katanya yang sebelum ini menetap di Taman Desa Rasah, di sini.

Sementara itu, Sinar Harian turut menghubungi penyewa terdahulu, E Sivavartheni, 28, bagi mengetahui keadaan terkini keluarganya.

“Kami ambil keputusan untuk berpindah ke rumah lain sekitar Mac 2014. Sampai hari ini, kami tak diganggu lagi api misteri.

“Berdasarkan penjelasan beberapa pengubat tradisional India dan Melayu, masalah ini dikatakan berpunca daripada perbuatan khianat seseorang yang menghantar sihir,” katanya yang meminta lokasi kediamannya dirahsiakan atas faktor keselamatan.

9 Mac tahun lalu, Sinar Harian berkesempatan menyaksikan sendiri api misteri yang menimpa kediaman tersebut sebanyak beberapa kali, ketika membuat tinjauan sekitar jam 9 malam.

Tidak sampai setengah jam di rumah berkenaan, api misteri itu tiba-tiba muncul lalu menyambar lipatan selimut dalam bilik hadapan, menyebabkan semua yang ada di situ tergamam sebelum bertindak memadamkannya.

Belum sempat menyambung perbualan dengan Sivavartheni, sekali lagi seisi rumah dikejutkan dengan api misteri terbabit, di mana kali ini menjadi sasaran adalah kalendar di bahagian dapur dan bilik tengah secara berturut-turut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");