Perak Hari Ini

“Guru berkenaan boleh dikenakan tindakan sekiranya melanggar etika profesionalisma” -Muhammad Amin

LENGGONG: Guru yang merotan seorang pelajar sehingga menyebabkan pelajar tersebut hampir buta boleh dikenakan tindakan sekiranya beliau melanggar etika profesionalisma sebagai seorang guru.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, pada peringkat ini, perbincangan masih dijalankan untuk mencari keputusan terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata,kejadian tersebut boleh dielakkan jika guru berkenaan menggunakan pendidikan yang lebih berhemah dan bukannya menggunakan atau dipengaruhi oleh emosi.

“Walaubagaimanapun, kes telah berlaku, apa yang tindakan seterusnya diambil adalah pelajar berkenaan telah diberikan rawatan yang mana pada masa ini beliau berada di Hospital Teluk Intan.

“Menurut pengetua sekolah berkenaan, kecederaan yang dialami oleh pelajar berkenaan masih boleh dirawat dan tidak memerlukan ianya dirujuk ke hospital pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, pertemuan antara tiga penjuru telah dilakukan antara pihak sekolah, ibu bapa dan juga guru yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.

“Hasil perbincangan tersebut adalah, pihak sekolah bersetuju untuk menanggung kesemua kos rawatan kecederaan yang dialami oleh pelajar berkenaan walau banyak mana sekalipun ia memerlukan… sekolah tersebut akan bantu.

“Pihak pendidikan juga telah turun untuk melihat situasi yang sebenar, dan tentu tindakan sewajarnya akan diambil kepada guru tersebut,” katanya.

Selain itu, Amin berkata, guru tersebut juga telah memohon maaf berkali-kali secara peribadi kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

Sementara itu, secara peribadinya beliau merasakan bahawa perkara tersebut tidak seharusnya memberikan gambaran negatif terhadap sistem pendidikan di negeri itu secara keseluruhannya.

Katanya, ianya hanyalah kes terpencil yang mana ianya mampu dielakkan dengan menggunakan pendekatan yang lebih berhemah supaya dapat diselesaikan mengikut undang-undang dan paling penting sekali ialah pendidikan itu sendiri tidak terlibat.

Ujarnya, apabila dikaitkan dengan kes disiplin, ia perlu berurusan dengan manusia yang kadang kalanya mempunyai emosi.

“Jadi sebagai manusia, telah berlaku kesilapan dimana beliau dipengaruhi oleh emosi dan situasi yang diakibatkan oleh perkara sebelum itu yang tidak dapat kita kenalpasti,” jelasnya lagi.

Terdahulu, pada 19 Mei yang lalu, seorang pelajar daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Kampung Gajah dilaporkan hampir buta dipercayai akibat dirotan oleh gurunya.

Ia berpunca apabila pelajar tingkatan satu tersebut, Danish Aiman Ahmad Rizal, 13, dikatakan tidak menyangkut bajunya di dalam almari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");