Membawang Hari Ini

Hamil anak kedua

Kebahagiaan rumah tangga yang dibina tiga tahun lalu cukup manis untuk dikongsi. Apatah lagi bahtera dikemudi lelaki yang menjadi pilihan hati berjaya membawa pelayaran mereka ke destinasi yang diimpi.

Lebih manis, kehadiran permata hati yang kini berusia hampir dua tahun menjadi penyeri hari-hari sepanjang bergelar suami isteri.

Setiap yang dilalui mengajar pasangan pelakon Wawa Zainal, 24, dan Aeril Zafrel, 27, menjadi lebih berdikari.

Berkahwin di usia muda lebih bererti kerana perkahwinan dibina atas cinta sejati.

Tidak ada apa yang perlu diragui, buktinya Wawa dan Aeril kini bakal menyambut seorang lagi cahaya mata selepas Wawa disahkan hamil, baru-baru ini.

“Kandungan saya masih di peringkat awal. Keadaan kesihatan saya sekarang juga tidak menentu. Jadi, doakan saja semoga semuanya selamat hingga saya bersalin nanti,” kata Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin.

Selepas kehadiran Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia setahun 10 bulan, pastinya kali ini mereka mengimpikan anak perempuan.

“Harapnya kali ini perempuan. Kalau dapat sepasang, seronok juga,” katanya.

Enggan membuka helaian lama kisah yang pernah membabitkan mereka, Wawa kini merasa dirinya wanita terbahagia.

Selain Attar, pelakon filem 99 Kali Rindu ini cukup bertuah kerana bersuamikan Aeril yang dianggapnya lelaki sempurna.

“Kehadiran suami dan Attar membuatkan hidup saya semakin bahagia. Saya bersyukur kerana memiliki suami yang cukup penyabar dan paling penting dia banyak membimbing saya ke jalan yang lebih baik.

“Kadang-kadang saya terharu sangat sampai menitiskan air mata. Terima kasih Allah di atas kurniaan hidup yang sangat bahagia ini. Rasa sempurna seperti tidak ada apa lagi yang nak dicari,” katanya.

Wawa berkata, Aeril bukan saja penyabar, tetapi seorang suami yang sentiasa tenang dalam apa jua situasi.

“Jika ada masalah, dia akan ajak berbincang. Begitu juga halnya jika ada perkara yang saya tidak puas hati, saya akan bersuara demi kebaikan hubungan kami.

“Justeru, setiap malam sebelum tidur kami akan berbincang dan saling meluahkan. Pendek kata, dia suami yang sempurna. Rasanya susah nak jumpa lelaki sebaik dia,” katanya.

Balas kebaikan Aeril

Kebaikan yang ditunjukkan suami memungkinkan Wawa membalasnya dengan serta merta. Tapi satu janjinya, dia akan menjadi isteri terbaik di mata suami dan Allah SWT.

“Sikap yang ditunjukkan suami sepanjang kami berkahwin perlu saya contohi dan ikut dalam setiap perkara. Disebabkan itu, saya berusaha untuk menjadi isteri terbaik buatnya walaupun diakui saya seorang yang garang.

“Sepanjang masa bersamanya, saya jadi lebih rileks dan tenang. Sikap suka marah itu hilang secara sendirinya. Selain menjadi isteri solehah, saya juga mahu menjadi ibu terbaik buat anak-anak kami,” katanya.

Disebabkan kebaikan yang ada pada Aeril, sesekali terlintas rasa tidak selamat dalam diri Wawa. Tambahan pula, hari ini macam-macam kes yang terjadi dalam rumah tangga selebriti mahupun orang biasa.

“Ada juga terfikir hal itu. Justeru, saya berusaha untuk menjadi isteri terbaik buatnya. Banyak kes yang berlaku dalam perkahwinan bukan saja berpunca daripada suami malah ada yang membabitkan orang ketiga. Saya bersyukur dipertemukan dengannya,” katanya.

Keluarga jadi keutamaan

Sejak berkahwin pada 25 Februari 2012, Wawa yang pernah menjulang trofi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH dua tahun lalu ini memilih untuk memperlahankan kerjaya seni dengan memberi tumpuan kepada keluarga kecilnya.

“Sekarang saya fokus kepada keluarga dan perniagaan pakaian kami. Memandangkan berlakon perlukan masa yang lama di lokasi dan sering balik lambat, itu yang saya ambil keputusan untuk perlahankan kerjaya.

“Jika salah seorang daripada kami terbabit dengan penggambaran, seorang lagi perlu cuti. Kalau sama-sama sibuk berlakon, pasti tidak ada masa untuk berjumpa. Bukan apa, kami tidak mahu kemesraan keluarga hilang,” katanya yang turut sibuk menguruskan perniagaan pakaian di bawah jenama WA.Clothing.

Menurut Wawa, dia tidak lagi mahu memikirkan populariti dan keutamaannya sekarang adalah keluarga.

“Kebahagiaan saya sekarang ialah bersama suami dan anak. Jadi, kami perlu sentiasa ada masa bersama,” katanya yang baru menjalani penggambaran drama berjudul Andai Bumi Tulip Itu Takdirku di Amsterdam, Belanda, baru-baru ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");