Sukan Hari Ini

Hoki: Misi ke Sukan Olimpik 2016

SKUAD hoki negara pada ketika ini berkedudukan 12 pasukan terbaik di dunia, satu pencapaian yang amat dibanggakan dalam sukan berkumpulan.

Kecemerlangan hoki negara dari dahulu hingga ke hari ini tidak perlu dipertikaikan kerana ada sahaja kejayaan yang diberikan buat negara.

Kini, The Speedy Tigers berdepan satu lagi tugas berat iaitu misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik RioBrazil pada tahun hadapan.

Mereka akan bersaing dalam pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Belgium, Jun nanti dan mahu menjadi empat pasukan terbaik iaitu tiket untuk ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Ikuti temu bual wartawan sukan Sinar Harian, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA bersama Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad yang juga pengurus skuad hoki negara dalam membicarakan misi hoki negara di Belgium nanti.

Kurang dua bulan, skuad hoki negara akan berdepan Pusingan Separuh Akhir WHL. Di mana tahap keyakinan Datuk untuk Malaysia merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016?

Rabu lalu, skuad The Speedy Tigers berlepas ke Belanda dan kemudiannya ke Belgium dalam tempoh 10 hari sebagai persiapan terakhir bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio di Brazil tahun hadapan.

Mereka akan berdepan tujuh aksi persahabatan iaitu menentang tiga pasukan kelab dan masing-masing dua perlawanan menentang skuad kebangsaan Belanda dan Belgium.

Selain itu, skuad hoki negara akan menguji gelanggang perlawanan termasuk mengadakan latihan sebanyak mungkin bagi menyesuaikan diri.

Pemain perlu mengambil kesempatan ini untuk menyesuaikan diri sebelum berdepan saingan sebenar Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, di Antwerp, Belgium, Jun depan.

Saya lihat semangat mereka begitu tinggi. Saya tahu pemain saya bermain bukan untuk kalah.

Dalam saingan sebenar nanti kita akan fokus satu-satu perlawanan kerana kita mahukan mata.

Kita mahu mengakhiri aksi kumpulan sekurang-kurangnya pada kedudukan ketiga seterusnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Jika sudah ke separuh akhir, tiket ke Sukan Olimpik sudah di dalam tangan. Itu sahaja matlamat kita pada ketika ini.

Saingan hoki dahulu dan hari ini cukup berbeza. Adakah hoki kita turut melalui satu revolusi, bergerak seiring dengan permainan hoki pada masa kini?

Jika dibandingkan dengan dahulu, saingan hoki pada masa kini sudah berubah. Sekarang corak permainan semakin pantas. Setiap pasukan perlu berkelebihan pada kekuatan fizikal dan mempunyai mental yang kuat.

Contohnya dahulu, jika kita membawa 18 pemain, kita hanya melakukan tiga pertukaran ketika beraksi, namun kini tidak lagi kerana 18 pemain itu akan bermain.

Saya sedar kita berdepan sedikit kekurangan tetapi jika kita fokus, kekurangan itu akan dapat diatasi.

Jika pemain kita berdisiplin, kita mampu untuk terus mencipta kejayaan.

Jurulatih sementara, Tai Beng Hai telah menunjukkan aksi membanggakan ketika membawa Malaysia juara dalam pusingan kedua WHL di Singapura tetapi gagal dalam Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah, baru-baru ini. Apa pandangan Datuk mengenai Beng Hai?

Dulu, Beng Hai adalah pemain yang berdisiplin dan sejak menjadi jurulatih, dia ada matlamat dia sendiri.

Pada saya, apa yang penting adalah pemain boleh bekerja dengan jurulatih dan jurulatih boleh bekerja dengan pemain.

Jika kita ada top jurulatih tetapi tidak mampu bekerjasama dengan pemain, kita akan berdepan masalah.

Sama juga kalau kita ada pemain top tetapi tidak mampu bekerja dengan jurulatih, kita juga berdepan situasi sama.

Pada ketika ini, kita tidak terfikir untuk menggantikan Beng Hai. Matlamat kita nak layak ke Sukan Olimpik. Kalau Beng Hai tunjuk prestasi yang baik kenapa kita perlu tukar?

Baru-baru ini, Faizal Saari mencipta satu kontroversi. Pada pandangan Datuk, bagaimana mahu memastikan situasi tersebut tidak berulang dan berjangkit kepada pemain lain?

Seorang pemain yang bagus, dia mempunyai sikap nakalnya sendiri. Dulu ramai juga pemain kita yang nakal.

Dalam kes Faizal, kita tidak cap dia sebagai pemain yang tidak berdisiplin. Itu harus diingat.

Seseorang pemain yang bagus, dia tidak boleh melakukan kesilapan kerana kesilapan itu akan memburukkan nama mereka sendiri.

Pemain perlu berhati-hati dalam membuat kesalahan baik di luar mahupun di dalam padang.

Mereka kena ingat bahawa mereka perlu memartabatkan diri sebagai duta hoki negara.

Bakat baharu hoki banyak dilahirkan di peringkat sekolah. Apakah penilaian Datuk dalam program pembangunan hoki di peringkat sekolah dan adakah tenaga pengajar itu sendiri memenuhi standard kejurulatihan?

Kita ada melahirkan bakat baharu dalam sukan hoki di peringkat sekolah melalui penglibatan beberapa buah sekolah.

Maksudnya di sini adalah sekolah yang memberi tumpuan kepada sukan hoki. Mungkin dalam 40 peratus sekolah di Malaysia.

Namun, hakikatnya kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada sekolah berkenaan. Sekolah lain di luar bandar juga mampu melahirkan pemain hoki berbakat besar.

Kita tidak bolah hanya memberi tumpuan kepada pasukan hoki negara sahaja tetapi harus fokus kepada pembangunan di peringkat akar umbi.

Kita perlu mengadakan klinik-klinik hoki untuk sekolah di luar bandar. Daripada jumlah 1,000 murid, jika kita dapat 50 pemain sudah cukup bagus.

Dari segi kualiti jurulatih pula, kita kena lihat, dulu setiap sekolah ada kualiti jurulatih.

Sekarang, Kementerian Pendidikan, perlu lebih teliti. Bila hantar guru ke sekolah dan ditugaskan untuk melatih pasukan hoki, guru itu perlu ada sijil kejurulatihan sekurang-kurangnya, gred dua.

Sekarang ini, kita mempunyai pemain hoki yang sudah pencen. Jika Majlis Sukan Negara (MSN) dan MHC dapat bekerjasama, sekolah di luar bandar akan meraih kelebihan.

Apa harapan Datuk terhadap pasukan hoki negara suatu hari nanti?

Saya rasa kalau kita mempunyai pentadbiran yang baik, jurulatih yang bersatu hati dan mempunyai pemain bersemangat tinggi, mungkin hoki Malaysia akan menjadi yang terbaik di dunia.

Kalau kita tidak mampu untuk menjadi lima pasukan terbaik dunia, cukuplah sekadar terbaik di Asia.

Kita ada kemudahan yang lebih baik berbanding negara Asia lain. Kita perlu guna kelebihan itu untuk masa depan hoki negara.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");