Berita Hari Ini

IADA perlu peruntukan RM120 juta

PARIT BUNTAR – Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian memerlukan peruntukan RM120 juta dalam memastikan usaha meningkatkan purata penghasilan padi di daerah Kerian kepada 8 tan metrik sehektar dapat dilaksanakan sebelum 2020.

Pengarah IADA Kerian, Zahimi Hassan berkata, dana peruntukan RM120 juta yang diperlukan IADA Kerian sebagaimana dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini amat penting bagi membolehkan pihaknya menjalankan kerja-kerja menaik taraf kemudahan di sawah padi.

Menurutnya, ketika ini, purata penghasilan padi di daerah Kerian adalah kira-kira 3 hingga 4 tan metrik sehektar dan ia masih jauh ketinggalan berbanding purata pengeluaran hasil padi di jelapang padi lain seperti di Selangor yang mencecah 8 tan metrik sehektar.

“Pihak kami ada menjalankan kajian dan mengenal pasti pelbagai faktor yang menyukarkan kawasan sawah padi di daerah Kerian mencapai peningkatan hasil kepada 8 tan metrik sehektar.

“Antaranya masalah sistem pengairan padi yang tidak teratur, keadaan tanah sawah padi di kawasan lembah dan beberapa faktor lain yang dilihat memerlukan dana yang besar untuk dipulihkan dan dinaik taraf.

“Sehubungan itu, kami berharap dana RM120 juta ini dapat diluluskan bagi membolehkan kawasan jelapang padi di daerah Kerian dapat dinaik taraf dan memperoleh hasil yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan insentif Projek Pengurusan Padi Berpusat NKEA Pertanian EPP II IADA Kerian di Dewan Merdeka di sini.

Majlis yang disempurnakan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Zabidi Dun turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali dan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Zahimi berkata, berkenaan penyerahan insentif padi di bawah projek EPP 11 bagi musim ini, sejumlah 1,145 peserta di seluruh daerah Kerian menerima insentif padi dengan nilai keseluruhan RM3.8 juta.

Menurutnya, IADA Kerian dengan kerjasama lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di daerah ini kini dipertanggungjawab untuk menguruskan sejumlah 1,909 hektar sawah padi di bawah projek EPP 11.

“Permintaan untuk menyertai projek EPP 11 dalam kalangan petani kini semakin meningkat menyebabkan ada PPK yang menguruskan kawasan projek melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Berikutan itu, pihak kami sudah mengemukakan rayuan kepada pihak kerajaan supaya cadangan keluasan kawasan sawah padi yang dibenarkan untuk terlibat dalam projek EPP 11 ditambah bagi memenuhi permintaan petani,” katanya.

Zahimi turut menjangka hasil padi di daerah Kerian dijangka meningkat secara purata sebanyak 6 tan metrik sehektar menjelang  2020.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");